Ini satu lagi berita susulan penangkapan pelakon dan penyanyi terkenal Irwansyah dan isterinya Zaskia Sungkar yang terlibat dengan pesta dadah.
Selepas dua hari ditahan atas dakwaan terlibat dengan penggunaan dadah, mereka akhirnya dibebaskan oleh Badan Narkotika Nasional (BNN), pada hari ini Selasa, kira-kira jam 2.55 petang. Mereka bersama lima individu lain didapati tidak cukup bukti untuk mendakwa mereka terlibat dengan penggunaan dadah.
Ketua pegawai BNN, Sumirat Dwiyanto:
“Hasil pemeriksaan terhadap tujuh orang ini, pihak kami tidak mepunyai bukti yang cukup untuk terus menahan atau menjalankan siasatan lanjut ke atas mereka. Ketujuh orang itu adalah Irwansyah, Zaskia Sungkar, Furqi. Ketika penyerbuan telah selesai, tiga orang kebetulan baru sampai ke rumah tersebut. Empat orang lagi sedang tidur di lantai atas sewaktu penyerbuan dibuat dan mereka tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.”
Irwansyah dan Zaskia sebelum itu telah menjalani ujian air kencing dan keputusannya menunjukkan mereka negatif dadah.
Sewaktu dibebaskan kelihatan kedua-duanya disambut oleh keluarga Zaskia iaitu Fanny Bauty (ibunda), Mark Sungkar (ayah) dan Shireen Sungkar.
Sementara dua lagi, Raffi Ahmad dan Wanda Hamidah masih lagi dalam tahanan BNN. Ujian air kencing kedua-dua selebriti itu juga disahkan negatif dadah. Namun Raffi harus membuktikan siapa pemilik ganja yang dijumpai di biliknya itu.
Pada pagi Ahad lalu, keempat-empat artis popular Indonesia ini bersama 13 lagi individu lain ditahan dalam satu serbuan, di rumah milik Raffi, di Lebak Bulus, Jakarta Selatan. Sewaktu operasi serbuan tersebut mereka didakwa sedang berpesta dadah. Pasukan BNN juga turut merampas sejumlah dadah yang dipercayai jenis ganja dan 14 biji pil ekstasi, di tempat kejadian.
Budiey harap, segala kejadian ini dijadikan iktibar kepada artis kita juga dan semoga segala kata-kata fitnah dan spekulasi akan terjawab dengan tersebarnya berita ini.