in

Pelakon Bollywood Dev Anand Meninggal Dunia

LONDON 4 Dis. – Bintang romantik sepanjang zaman Bollywood, Dev Anand meninggal dunia malam semalam pada usia 88 tahun selepas mengalami serangan jantung. Menurut keluarga pelakon itu, Dev berada di London untuk menjalani pemeriksaan doktor kerana tidak sihat sejak beberapa hari lalu.

Aktor itu dilaporkan bersama anaknya, Sunil ketika dia menghembuskan nafas terakhir. Dev menceburi bidang lakonan pada tahun 1946 menerusi filem pertamanya, Hum Ek Hain. Selepas filem Ziddi ditayangkan pada tahun 1947, bakat lakonan Dev mula menyinar dan terus menempa nama sebagai seorang selebriti terkenal Bollywood.

Dia yang mampu membawa apa sahaja watak turut berlakon dalam filem hit seperti Paying Guest, Baazi, Jewel Thief, CID, Johny Mera Naam, Amir Garib, Warrant, Hare Rama Hare Krishna dan Des Pardes. Dia juga pernah menerima anugerah berprestij ‘Padma Bhushan’ pada tahun 2001 dan ‘Dada Saheb Phalke’ pada tahun 2002 bagi sumbangan luar biasanya untuk industri Bollywood.

Dev menubuhkan syarikat produksi filem, Navketan International Films pada tahun 1949 yang menghasilkan lebih 35 buah filem.

Aktor berpengalaman itu berkahwin dengan pelakon Kalpana Kartik (Mona Singha nama sebenar) pada tahun 1954 dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. – AGENSI

dev-anand

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aaron Aziz & Ombak Rindu Trending di Twitter

Gambar Aaron Aziz di Promo Tour Filem Ombak Rindu