Selamat pengantin baru diucapkan buat pelakon Amran Ismail atau lebih dikenali sebagai Amaris yang telah melangsungkan pernikahan pada Jumaat lalu, iaitu 5 Januari 2018 dengan seorang wanita yang merupakan bekas ustazah bernama Nur Syazwani Alias. Tahniah!
“SAYA mohon maaf tidak berkongsi pernikahan saya. Bukan tak nak tetapi saya ingin majlis berlangsung dahulu baru kongsi. Saya tak mahu main cakap saja kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku,” kata pelakon Amran Ismail, 33, yang selamat bernikah dengan Nur Syazwani Alias, 28, Jumaat lalu.
Pada majlis berlangsung di Batu Pahat, Johor itu, Amran atau Putra Amaris menyerahkan mas kahwin RM22.50 beserta 11 dulang hantaran dan dibalas 13 dulang. Bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan.
Pasangan ini diraikan dalam majlis persandingan pihak persempuan, semalam.
Amaris akui kalangan rakan rapat tahu mengenainya tetapi rakan artis tidak tahu. Malah sepanjang berkawan dengan Syazwani pun tidak ramai yang tahu.
“Saya selesa untuk tidak terlalu bercerita. Seperti sekarang, selepas sah bergelar suami isteri baru saya boleh berkongsi apa yang perlu. Saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua dan semoga perkahwinan ini kekal hingga ke jannah,” katanya kepada Harian Metro.
Kata Amaris, dia bertemu jodoh dengan rakan kakak iparnya ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
“Kami berjumpa kali pertama pada Aidilfitri 2016. Tidak sampai sebulan lepas itu, saya terus menghantar rombongan merisik dan kami bertunang pada 13 Ogos 2016. Ketika itu dia bertugas sebagai ustazah di sekolah agama di Johor. Sekarang isteri saya menjalankan bisnes tudung dalam talian,” katanya.
Amaris akui pada mulanya Syazwani tidak tahu dia artis tapi kini menerima kerjayanya sebagai pelakon.
“Mulanya takut juga kalau dia menolak. Alhamdulillah, dia terima dan Allah permudahkan urusan kami,” katanya.
Mengenai perancangan bulan madu, Amaris merancang menunaikan umrah bersama isteri dalam masa terdekat.
“Sebelum sibuk dengan kerja, Insya Allah saya mahu menunaikan umrah bersama isteri. Selepas itu, baru boleh rancang ke destinasi lain. Kalau ada rezeki, nak bawa isteri jalan-jalan ke London dan Paris.
“Apa pun, segalanya bergantung kepada jadual penggambaran. Boleh dikatakan bulan depan jadual kerja saya agak padat membabitkan drama 30 episod dan dua filem. Saya anggap ini rezeki selepas kahwin,” katanya.
Sumber: Harian Metro