SHAH ALAM: Dengan sekali lafaz, kembar Ekin, pelakon Aien atau Nora’Ain Rahmat, 30, kini selamat bergelar ‘Datin’ sebagai isteri kepada Datuk Arif Ambrose Leonard Ng. Datuk Arif Ambrose, 41, seorang ahli perniagaan keturunan Cina, dan Aien, selamat diijabkabulkan pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Pasangan mempelai bergambar dengan keluarga pengantin perempuan.
Kedua mempelai dinikahkan oleh Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk dari Pejabat Agama Daerah Petaling, Muhamad Sujak Mohd Dasuki berwalikan bapa Aien, Rahmat Mohamad, 50. Pengantin perempuan menerima wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya, mas kahwin RM300 beserta sembilan hantaran daripada pengantin lelaki seperti alat solek, sirih junjung, al-Quran, kek dan tas tangan.
Sementara Aien membalas 11 dulang hantaran kepada Arif. Antaranya adalah persalinan, al-Quran, coklat, set minyak wangi dan telefon bimbit.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan lega kerana semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi saya berasa agak terkilan apabila berlaku sedikit kekecohan tadi,” luah Aien selepas selamat diijabkabulkan.
Difahamkan, semasa majlis nikah sedang berlangsung, sedikit kekecohan berlaku apabila terdapat beberapa rakan media yang dihalang daripada memasuki ruang nikah dalam masjid itu. Namun, setelah wartawan dan jurugambar menunggu seketika sebelum berbincang dengan pihak keluarga pengantin perempuan, barulah keadaan beransur pulih.
Aien juga menjelaskan sebab dia memilih Shah Alam sebagai lokasi pernikahan.
“Shah Alam merupakan lokasi yang strategik kerana ia berada di tengah-tengah antara tempat tinggal saya dan suami,” ulasnya yang belum merancang destinasi bulan madu mereka.
Pelakon drama bersiri Kawan ini berkata dia memilih Arif kerana lelaki itu seorang yang kelakar, memahami dan menyintai Islam melebihi dirinya. Majlis tersebut dihadiri oleh keluarga mempelai perempuan, saudara-mara dan kawan-kawan terdekat. Namun, abang ipar Aien, Mawi tidak kelihatan di majlis itu kerana mempunyai urusan kerja bersama Marrybrown di Pulau Pinang.
Arif merupakan seorang duda beranak tiga dan memeluk Islam sejak Jun lalu. Pasangan ini tidak pernah bertunang dan akan melangsungkan majlis resepsi pada tahun hadapan. [sumber]