Dengan hanya sekeping gambar mampu menceritakan segala-galanya. Seorang jurugambar sememangnya sangat menghargai seni dan gambar. Bagi mereka setiap momen yang dirakam terjadi hanya sekali. Kita boleh mencipta suasana seakan tapi keadaannya pasti tidak sama. Kerana itu setiap gambar yang terhasil daripada sebuah fotografi sangat tinggi nilainya.
Berkongsi mempelajari teknik fotografi terbaik yang menjadi kegilaan remaja masa kini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program bertajuk “Fotostatik” yang menampilkan hos Syaza Azira dan Abiel Allen diberi pendedahan kepada fotografi oleh jurugambar bertauliah yang ditemu ramah oleh mereka.
Sedang bersiaran menerusi saluran TVi pada setiap hari Khamis, pukul 8.00 malam, 13 episod siri ini mengetengahkan jurugambar berpengalaman dalam bidang dan lapangan yang berbeza termasuklah melibatkan fotografi sukan ekstrem, potret, perkahwinan, street, fesyen, lanskap, senibina, event, grafik dan abstrak, dokumentari, komersial, travel dan underwater.
Fotografi fesyen adalah bidang yang sering dikaitkan dengan industri ini. Hos diberi pendedahan pada dunia fotografi fesyen oleh jurugambar elit, En. Jin dari Baddogz studio. Selesai pembelajaran tentang fotografi fesyen, mereka diberi tugasan mencabar untuk merakam gambar fesyen diatas bumbung banggunan.
Dalam episod melibatkan fotografi lanskap pula jurugambar jemputan, En. Marfizul Marzuki ke Pantai Kelanang, Morib untuk mengenal dengan lebih dekat proses yang terlibat dalam mengambil gambar lanskap. Selesai sesi pembelajaran, hos diberi tugasan untuk membawa pulangan gambar lanskap terbaik.
Tidak semudah yang disangka untuk mengambil gambar banggunan. Terlalu banyak aspek yang perlu diambil kira kerana ia bakal mempengaruhi kualiti gambar yang diambil. Dibawah En. Kamalizahri, hos rancangan diberi tunjuk ajar khusus cara-cara yang afdal untuk mengambil fotografi senibina. Mereka kemudia diberi tugasan untuk merakam gambar senibina Masjid Bukit Jelutong di Shah Alam.
Aturcara majlis adalah sesuatu yang berlangsung tanpa kawalan jurugambar. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan agar ‘moment’ yang wajib dapat diabadikan. Bersama jurugambar jemputan, En. Affandi And Hamid (FND), hos rancangan diberi pendedahan tentang proses yang lazim untuk mengambil gambar ‘event’. Mereka kemudian diberi tugasan untuk meliputi ‘Pentas Opera Cina’ kelolaan JKKM.
Wujud sebuah dunia lain didalam dunia visual yang lazim kita lihat dengan mata kasar. Hos rancangan diasuh jurugambar veteren, En. Arthur Teng, untuk mengenalpasti dunia tersembunyi melalui elemen asas grafik. Selepas itu, mereka dikehendaki menghasilkan gambar grafik dan abstrak yang wujud di persekitaran Tugu Negara, Kuala Lumpur.
Hos rancangan dibawa mendalami dunia fotografi dokumentari oleh jurugambar berkebolehan, Puan. Suzanne Lee. Mereka diajar perbezaan antara fotografi kewartawanan dan dokumentari dan lain-lain teknik asas yang terlibat dengan bidang fotografi dokumentari. Selepas itu, mereka diberi tugasan untuk merakam fotografi dokumentari aktiviti Pertiwi Soup Kitchen menyalurkan makanan kepada golongan gelandangan disekitar Kuala Lumpur.
Fotografi ‘travel’ bukan sekadar mengambil gambar percutian. Ia lebih menjurus kearah mendokumentasi pengembaraan secara visual dan merangkumi pelbagai displin fotografi agar gambar yang terhasil bukan sahaja tampak menarik, tetapi mempunyai nilai-nilai komersil yang tertentu. Episod ini, hos rancangan akan dipimpin oleh jurugambar ‘travel’ profesional, En. Ariff Budiman. Selesai sessi pembelajaran, hos pula diberi cabaran untuk mengambil gambar ‘travel’ sewaktu mengembara ke Kuala Selangor.
Bidang fotografi komersil adalah sebuah genre dimana jurugambar dibayar untuk menghasilkan imej mengikut ketetapan klien. Episod ini, hos rancangan diberi tunjuk ajar oleh jurugambar tersohor, En. Amri Ginang. Mereka kemudian diberi tugasan khusus untuk mengambil gambar model dan produk Moto Guzzi di Glenmarie, Shah Alam.
Fotografi underwater melibatkan proses rakaman dibawah air dengan menggunakan kamera kalis air. Hos rancangan diasuh oleh jurugambar terkenal, En. Ariffin Aris tentang teknik skuba, teknik penggambaran, aspek keselamatan dan lain-lain yang berkaitan dengan penggambaran didalam air. Selepas itu, mereka diberi tugasan khas untuk merakam fotografi fesyen didalam air di Sunway, Petaling Jaya.
Pelajari tip berguna daripada jurugambar bertauliah ini dalam merakamkan gambar yang bukan sahaja cantik namun mempunyai nilai seni yang tersendiri hanya di TVi.