Penerimaan yang baik oleh masyarakat turut menjadi penyumbang kepada individu OKU tidak berasa janggal bergaul dengan sesiapa saja termasuk komuniti bukan OKU. Pada masa sama mewakili golongan OKU yang lain dan menjadi contoh dalam memberikan inspirasi kepada mereka menerusi kejayaan dicapai. Masyarakat perlu sedar golongan minoriti ini juga boleh ke hadapan.
Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia pada 3 Disember setiap tahun merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab untuk bersama-sama memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kemampuan dan sumbangan OKU.
Untuk itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut sama berkongsi penghargaan dan inspirasi dengan menyiarkan telefilem khas bertajuk “Takkan Terlerai” mengisi slot Panggung RTM pada 2 Disember ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Ikuti kisah suka dan duka yang mengisahkan pengorbanan seorang abang iaitu Afiq yang menjaga adik istimewa, Irfan yang pekak dan bisu setelah kematian ibu bapa mereka. Irfan dan Afiq berkomunikasi berdua dan orang keliling dengan menggunakan Bahasa Isyarat.
Afiq bekerja di kafe dan membuat kerja sambilan melukis serta menjual lukisan bagi menyara kehidupan mereka berdua. Irfan bercita-cita untuk menjadi olahragawan terkenal dan meminati sukan badminton.
Afiq duduk menyewa di sebelah rumah mak cik berbangsa India yang selalu mengambil berat tentang Afiq dan Irfan. Afiq telah berkenalan secara tidak sengaja yang mencari pelukis mural. Aira juga banyak membantu Afiq dalam mengembangkan bakat seni lukisnya.
Di samping meneruskan tanggungjawabnya sebagai seorang abang dan pada masa sama mahu mengejar cita-citanya sebagai pelukis, mampukah Afiq mengharungi dugaan tersebut? Ikuti kesudahannya di TV1.
Telefilem arahan Isma dan Jaja Ishak ini mengetengahkan pelakon Zahiril Adzim sebagai Afiq, Amin Haridz watak Irfan, Syarifah Sofia dan Susila Devi. Juga penampilan khas Yap Leong Chai (Steve Yap) sebagai jurulatih badminton.