in ,

Pekin Ibrahim Tolak Dua Tawaran Filem Demi SELUDUP

Bersembang dengan Pekin Ibrahim di sebuah gerai di Jeti Teluk Gong, Pengkalan Balak, banyak cerita diketahui tentang aktor yang terkenal dengan peranan berat ini. Masa yang sepatutnya digunakan untuk berehat setelah seharian di lokasi drama ‘SELUDUP’, Pekin tidak kisah untuk meluangkan waktu untuk satu temuramah eksklusif bersama dengannya.

Selain bakat lakonannya yang diakui hebat, sikap professional inilah yang membuatkan Pekin begitu laku di kalangan produser filem yang ingin mengambilnya berlakon. ‘SELUDUP’ merupakan percubaan pertamanya berlakon dalam drama berepisod.

“Ketika Jehan menawarkan watak ini kepada saya, saya memang tolak. Saya tahu bahawa penggambaran drama episod mengambil masa yang lama. Tetapi setelah saya membaca skrip yang diberikan, saya terus bersetuju. Ditambah pula apabila saya ketahui bahawa Namron, Tiz Zaqyah, Syafie Naswip dan Raja Ilya akan turut membintangi drama ini.”

‘SELUDUP’ merupakan sebuah drama aksi dan cinta dan ditulis berlatarbelakangkan sindiket penyeludupan barangan haram seperti rokok seludup, dadah dan aktiviti pemerdagangan manusia. Sarat dengan pelbagai adegan mendebarkan, Pekin memegang watak ‘Amran’, seorang nelayan yang secara tidak sengaja telah terjerumus ke dalam gejala ini.

Kami bertanyakan kepada Pekin tentang watak ‘Amran’ dan katanya “Amran adalah watak yang agak kasar namun berhati mulia. Saya perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan ‘mannerism’ Amran iaitu seorang nelayan yang berjaya. Ini bermakna saya perlu belajar mengemudikan bot, menebar jala dan mengimbangi badan di atas bot. Semuanya perlu nampak ‘natural’ dan tidak kekok atau dibuat-buat. Memang mencabar buat saya kerana walaupun saya berasal dari Kelantan, saya dibesarkan di Subang Jaya. Tetapi ini adalah satu proses pembelajaran yang saya hargai. Bila lagi saya boleh perolehi peluang sebegini?”

Memulakan kariernya di pentas teater dan pernah mendalami jurusan seni filem di Institut Seni Indonesia pada tahun 2007, Pekin menyatakan perasaan bangganya dapat terlibat dengan produksi ‘SELUDUP’ yang disifatkannya sebagai ‘sangat sempurna’. “Saya tidak merasa terkilan langsung menolak tawaran berlakon di dalam dua buah filem lain demi peluang beraksi di dalam ‘SELUDUP’. Daripada krew sehinggalah pelakon-pelakon yang digandingkan bersama saya, kesemuanya sangat berdedikasi dan hebat di dalam bidang masing-masing. Jehan pula sebagai pengarah dan produser saban hari mengagumkan saya dengan kreativiti dan semangatnya. Mungkin kerana dia juga seorang pelakon maka dia faham apa yang diperlukan di dalam setiap watak dan dengan itu arahannya sangat ‘detail’. Saya tabik kepada Jehan dan punyai rasa hormat atas bakatnya.”

Alang-alang mendapat peluang berbicara dengan Pekin, kami bertanyakan juga pendapatnya tentang pelakon-pelakon lain yang digandingkan dengannya di dalam ‘SELUDUP’. Pekin menyifatkan Tiz sebagai seorang pelakon yang berwibawa selain dari teman yang baik.

“Saya sudah lama mengenali Tiz kerana kami berdua dibesarkan di Subang. Tanpa dapat disangkal, Tiz hebat di hadapan kamera. Dia karismatik dan penyampaian dialognya sangat bersahaja. Ini adalah kali pertama kami diberi peluang untuk berkerja bersama dan rasanya ini menjadikan perhubungan kami sebagai teman semakin rapat.”

Sebagai penggiat teater yang tegar, Pekin juga amat mengagumi Namron dan mereka pernah bekerjasama di dalam filem ‘Bunohan’ arahan Dain Said. “Apa yang menjadikan ‘SELUDUP’ sangat istimewa buat saya adalah kerana kesemuanya yang terlibat di dalam produksi ini merupakan teman-teman saya. Raja Ilya juga telah saya kenali sejak dia bekerja sebagai pramugari dan Syafie Naswip pernah digandingkan dengan saya dalam sebuah filem pendek. Saya tahu kemampuan setiap dari mereka dan bakat lakonan yang mereka ada. Dengan itu, setiap ‘scene’ punyai keistimewaan yang tersendiri dan cabaran bagi kami semua adalah untuk menghidupkan watak-watak di dalam ‘SELUDUP’ bersesuaian dengan visi Jehan sebagai pengarah”.

‘SELUDUP’ akan menemui penonton di saluran Astro Prima dan MayaHD pada bulan Disember ini. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

Pekin Ibrahim

Pekin Ibrahim

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Most Popular YouTube Ads in Malaysia

Photos Samsung GALAXY Note 4 Officially Available in Malaysia