Pelakon Pekin Ibrahim mengakui dia menyukai wataknya dalam filem COVERINA kerana memang sudah lama menantikan peluang untuk menjadi perempuan dalam lakonannya. Begitupun, tidak mudah sebenarnya untuk dia menjadi Kamelia kerana karakter tersebut mempunyai cabaran tersendiri.
Justeru, Pekin banyak membuat pemerhatian terhadap gaya dan cara ramai wanita di sekelilingnya untuk menjiwai watak itu.
“Sebelum ini saya pernah membawakan watak lembut tetapi ini kali pertama saya berlakon sebagai perempuan. Payah dan mencabar watak ini sebab saya perlu nampak asli sebagai seorang perempuan. Pakai kasut tinggi memang susah dan saya kena kawal cara bercakap, berjalan, lenggok dan gaya. Malah, Kamelia adalah seorang yang gedik dan saya perlu menjadi gedik.
“Mungkin sebelum ini, saya lebih banyak mendapat watak serius tetapi sebenarnya, ramai tidak tahu saya seorang kelakar dan apabila ditawarkan watak ini, saya terus setuju kerana saya mahu mencabar diri tampil sisi lain dan berbeza.
“Penonton memang akan tahu saya menyamar tetapi untuk menampakkan saya betul-betul perempuan, saya perlu buat penonton percaya dan itu yang susah.
“Saya kena pastikan lakonan saya tidak nampak murah dan menyelami hidup sebagai perempuan seperti apa yang mereka suka dan tidak, Saya banyak melihat sambil memerhati wanita dan daripada situ, saya cuba belajar gaya dan cara mereka.”
Mengenai pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang penggambaran, Pekin menyatakan ada satu babak Kamelia diragut dan babak itu memperlihatkan dia memakai skirt pendek paras paha.
Baginya, penampilan itu melucukan tetapi berbangga kerana tidak menyangka dia boleh melakonkan babak itu dengan baik.
“Rasa lucu dan pada masa sama, saya rasa bangga dan suka sebab saya tidak ada bulu kaki. Sebenarnya, saya cukur bulu kaki saya dan tidak sangka saya berjaya melakonkan babak itu,” katanya.
Bersama Pekin, filem ini juga dibintangi Siti Elizad dan Cat Farish yang akan ditayangkan bermula 19 Februari nanti.