Isteri kepada pelakon lelaki, Afiq Muiz hari ini telah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari untuk membuat permohonan tuntutan fasakh.
Pachara Apin atau Nur Aaira Mahdeya, 32 tahun telah hadir ke mahkamah berseorangan pada jam 10.58 pagi dengan memakai jubah hitam dan pelitup muka.
Ketika ditemu bual, Pachara mendedahkan dia pernah membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 dan mendakwa telah ditampar Afiq di bahagian muka sebanyak lima kali.
Menurut Pachara, Afiq mengetahui mengenai tuntutan cerai secara fasakh hari ini namun dikatakan enggan memberikan kerjasama.
“Afiq tidak beri kerjasama langsung. Dia tahu mengenai tuntutan cerai fasakh pada hari ini tetapi enggan memberi kerjasama,” katanya.
Diminta mengulas mengenai dakwaan dipukul Afiq seperti yang dinyatakan di Facebook dan TikTok tahun lalu, Pachara tetap mempertahankan kenyataannya itu serta mengatakan ianya bukan bukan fitnah seperti didakwa suaminya.
“Apa yang saya nak beritahu, sebelum ini dia (Afiq) ada buat laporan polis yang mengatakan saya fitnah tapi saya tak fitnah.
“Mengenai bukti, saya rasa semua orang dah nampak. Pada masa sama kita sedang berpuasa. Lagipun sebelum ini hanya saya saja yang banyak bercakap dan masyarakat pun dah nampak bukti-bukti ini. Kita tunggulah bicara terakhir pada 6 April ini,” katanya.
Aktor itu juga didakwa menendang perut dan menumbuk dagu sebanyak dua kali. Pachara berkata bahawa suaminya itu langsung tidak memberi kerjasama berkaitan prosedur mahkamah.
Peguam Syarie yang mewakili Pachara, Suriati Ab Ghani berkata pihaknya telah memfailkan cerai secara baik pada Ogos tahun lalu namun Afiq tidak dapat dikesan.
Malah, aktor tersebut didakwa sudah tidak memberi nafkah dan menggantung isterinya tanpa tali sejak Julai 2021. Dia dikatakan menghilangkan diri tanpa memberikan alamat rumahnya.
Difahamkan, perbicaraan seterusnya akan berlangsung pada 6 April ini di mana Pachara akan hadir bersama dengan saksi bagi sebutan semula kes terbabit.