in , ,

Pawagam Dibuka Mulai Jumaat Ini, Pengusaha Pawagam Tarik Nafas Lega

Pengendali rangkaian pawagam lega kerajaan memberi lampu hijau untuk membuka semula premis masing-masing kepada pencinta filem, mulai esok.

Sebelum ini, dilaporkan sektor panggung wayang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengusaha pawagam dilaporkan mengalami kemerosotan pendapatan sehingga 90 peratus dengan kerugian terkumpul dianggarkan lebih RM500 juta.

Berikutan itu, bagi mengelak terus rugi, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) sebulat suara menghentikan sementara operasi pawagam di seluruh negara, sejak November lalu, sehinggalah kebenaran membuka pintu kepada pelanggan diberi, kelmarin.

Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama Golden Screen Cinema (GSC), Sharmine Ishak, berkata syarikat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi lampu hijau kepada pawagam membuka kembali premis dan teruja menyambut pelanggan.

“Kami berharap dengan penurunan angka jangkitan dan suntikan vaksin yang mula diberi kepada rakyat, pawagam dapat beroperasi sepenuhnya.

“Secara tidak langsung, ini dapat membantu pengusaha panggung wayang memulihkan perniagaan yang terjejas teruk sejak tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

Sharmine berkata, GSC memantapkan lagi perniagaan dengan menyewakan ruang persendirian untuk pelbagai acara seperti gaya hidup dan hiburan, majlis korporat, permainan video, sketsa komedi atau persembahan secara live.

“Kami turut menawarkan pelanggan sewaan dewan persendirian untuk menonton wayang bersama keluarga dan rakan mereka.

“Ini khusus untuk mereka yang bimbangkan keselamatan serta kesihatan insan tersayang dalam musim pandemik ini,” katanya.

Sharmine berkata, GSC juga menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan sentiasa mengemas kini platform media sosial yang diikuti kira-kira dua juta pencinta filem.

Tambahnya, biarpun operasi panggung wayang ditutup sejak Mac tahun lalu, syarikat rancak mengatur pelbagai strategi perniagaan demi memastikan kelangsungan perniagaan.

“Pelanggan setia GSC masih boleh menikmati hidangan popular kami melalui Jin Gastrobar yang menyediakan khidmat penghantaran sepanjang PKP.

“Selain itu, jualan barangan keluaran GSC melalui platform e-dagang kami iaitu Keepsake diteruskan sepanjang penutupan panggung wayang,” katanya.

Sharmine berkata, industri pawagam diharap segera pulih selepas kebenaran diberi kerajaan untuk menyambung operasi.

“Kami akan menyajikan pelbagai filem menarik khusus untuk pencinta filem yang rindu suasana dalam pawagam,” katanya.

*Sumber: Berita Harian

Lega Orang Ramai Boleh Kembali Ke Panggung Wayang

Berita kebenaran pembukaan semula operasi panggung wayang melegakan pengusaha susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di beberapa negeri bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas (GSC), Koh Mei Lee berkata, mereka tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan pelanggan esok selepas operasi ditutup beberapa bulan.

“Kami sangat teruja diberikan ‘lampu hijau’ dan dapat membuka semula panggung wayang selepas tempoh yang lama. Kami tidak sabar menantikan kedatangan pelanggan serta penggemar filem.

“Kami berharap selepas jumlah kes Covid-19 menurun, kami akan dapat membuka semua panggung wayang dengan kapasiti penuh. Ia akan membantu untuk memulihkan semula perniagaan kami,” katanya.

Mei Lee berkata, buat masa ini mereka meminta pelanggan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat menikmati keselesaan dan demi kebaikan bersama di panggung wayang.

Sementara itu, Pengurus Awam Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargaya berkata, mereka mahu meraikan pembukaan semula operasi panggung wayang dengan sajian filem-filem hebat.

“Susulan pengumuman itu, TGV Cinemas akan membuka semua panggung kecuali TGV Miri dan TGV Vivacity di Kuching, Sarawak. Kami ingin sajikan filem terbaik bermula esok sebagai mengalukan kehadiran semula penggemar filem,” katanya.

Mohit berkata, antara filem baru yang ditayangkan ialah Raya and the Last Dragon, Monster Hunter, Master dan Anbirkiniyal.

TGV Cinemas juga akan membawa kembali beberapa filem lain seperti Wonder Woman 1984, The Rescue dan banyak lagi.

Kelmarin, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan panggung wayang akan dibenarkan untuk membuka operasi semula selepas pelaksanaan PKPB dan PKPP di beberapa negeri yang bermula esok.

Penutupan panggung wayang berikutan penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP menyebabkan sektor itu mengalami kerugian lebih RM400 juta dalam tempoh 10 bulan.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Originals Pertaruhkan Gabungan Dua Pengarah Muda Dalam PROJEK: ANCHOR SPM

SAJAT

Mufti Pandang Serius Kenyataan Sajat Mahu Keluar Islam & Artis Mengaku Bangga Jadi Pondan