Terbaru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi panggung wayang, teater dan kolam renang seluruh negara bermula 1 Julai. Menurut Ismail Sabri, aktiviti riadah kolam renang dibenarkan di kolam renang awam, hotel, kondominium, kawasan terkawal (gated community) serta kolam renang persendirian.
Bagaimanapun, terdapat prasyarat untuk dipatuhi antaranya menyediakan pengawal atau penyelia bukan hanya untuk memastikan keselamatan pengguna tetapi juga jumlah dan masa penggunaan terkawal.
Mengenai kolam renang untuk kanak-kanak, walaupun pada dasarnya tiada halangan tetapi kita masih lagi tidak menggalakkan kanak-kanak guna kolam renang.
Terserah jika ada pihak pengurusan kolam menetapkan tidak membuka kolam renang untuk kanak-kanak dan ibu bapa perlukan mengambil pendekatan sendiri untuk kawalan kendiri bagi menjaga keselamatan anak-anak mereka.
Bagi waktu operasi panggung wayang, menurut menteri ini, beberapa syarat diwajibkan bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan untuk pengunjung.
Bagi operasi pawagam dan teater pula, kebenaran diberikan hanya untuk diadakan di dewan tertutup sahaja. Bagaimanapun, aktiviti ini tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.
SOP yang ditetapkan terutamanya penjarakan sosial, diperiksa suhu badan sebelum masuk dan pensanitasi tangan perlu dipatuhi pada setiap masa.