in , ,

Patung Lilin Lee Chong Wei Bakal Berlepas Ke Madame Tussauds Hong Kong

Patung Lilin Lee Chong Wei Bakal Berlepas Ke Madame Tussauds Hong Kong Untuk Paparan Kekal

Patung lilin bekas jaguh badminton No.1 di dunia, Lee Chong Wei yang dihasilkan istimewa untuk beliau bakal berlepas ke Madame Tussauds Hong Kong untuk paparan kekal mulai 18 Mac 2023.

Sebagai atlet Malaysia pertama yang menghiasi Muzium Madame Tussauds, patung lilin Lee Chong Wei akan dipaparkan di zon ‘The Champions’, sekali gus meletakkannya sebaris dengan ikon-ikon sukan lain seperti bintang bola sepak tersohor Cristiano Ronaldo dan David Beckham, serta peninju ikonik Manny Pacquiao, yang juga merupakan tambahan terbaru kepada zon tersebut.

Sebelum patung lilin itu dibawa ke Hong Kong, Madame Tussauds telah mengadakan satu pameran khas di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, bersama watak utama itu sendiri, Lee Chong Wei. 

https://flic.kr/p/2ok3j8h

Berucap pada majlis itu, Hannah Yeoh berkata, “Saya amat gembira kerana Madame Tussauds Hong Kong telah menghasilkan patung lilin Lee Chong Wei, yang merupakan kebanggaan negara. Kami sungguh berbangga dengan jaguh sukan tanah air kita ini, dan ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana memperoleh pengiktirafan global ini. Kementerian Belia dan Sukan sangat komited untuk menyerlahkan potensi sukan negara kita, dan kami berharap pencapaian Chong Wei akan menjadi peringatan dan motivasi kepada mereka untuk berusaha mencapai kecemerlangan.”

Eric Mak, Pengurus Besar di Madame Tussauds, Cawangan Hong Kong, turut berkongsi keterujaannya. “Antara tonggak pencapaian kami adalah menempatkan patung lilin Lee Chong Wei di sini. Ia merupakan satu tambahan penting kepada zon ‘The Champions’ yang akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka tidak kira apa jua rintangan yang diharungi. Lee Chong Wei telah membuktikan kejayaan adalah hasil kecekalan dan kesungguhan, dan kami mahu mengabadikan semangat beliau,” katanya. 

Bagi meraikan detik bersejarah ini, Lee Chong Wei menyumbangkan jersi Yonexnya daripada persembahan terakhirnya di Olimpik Rio 2016. Patung lilin itu ‘memakai’ jersi Edisi Terhad Olimpik Rio beliau untuk memperingati penyertaannya dalam Sukan Olimpik Rio, serta kasut SHB-01 LTD LCW dan raket badminton Yonex Duora 10 LCW. 

Menurut Lee Chong Wei, gaya dipilihnya untuk patung lilin itu adalah gaya “Bersedia untuk melawan!”, yang telah ditonjolkan oleh beliau di beribu-ribu gelanggang badminton di seluruh dunia sebelum memulakan perlawanan. Ia melambangkan fikiran yang tenang, fizikal yang bersedia, serta azam yang teguh untuk mengharumkan nama negara tercinta. 

Lee Chong Wei berkata, “Walaupun saya telah bersara daripada badminton profesional, ia tetap merupakan bahagian yang penting dalam hidup saya. Patung lilin ini membawa banyak kenangan indah untuk saya. Ia merupakan satu penghormatan tinggi buat kerjaya saya, yang telah saya dedikasikan sepanjang hidup dan menjadikan saya apa adanya sekarang.”

Lee Chong Wei memegang rekod sebagai pemain badminton No.1 di dunia selama 349 minggu, di mana beliau menduduki tangga teratas selama 199 minggu berturut-turut. Selain meraih 69 gelaran siri super, beliau turut dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik Tokyo 2021. Beliau juga merupakan atlet Olimpik yang paling berjaya di Malaysia dengan memegang tiga pingat perak.

“Saya sangat teruja melihat ‘kembar’ saya berdiri di Madame Tussauds Hong Kong, dan amat berbesar hati untuk berdiri sebaris dengan jaguh-jaguh sukan legenda yang lain. Pasukan Madame Tussauds telah meluangkan banyak masa dan usaha untuk menghasilkan patung lilin itu, jadi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka atas pengiktirafan terhadap kerjaya badminton saya,” tambah Lee Chong Wei.

Peminat yang ingin menyaksikan patung lilin Lee Chong Wei boleh melayari laman web rasmi Madame Tussauds Hong Kong di https://www.madametussauds.com/hong-kong/en/ untuk membeli tiket tarikan pelancongan. Madame Tussauds Hong Kong diuruskan oleh Merlin Entertainments, yang telah melancarkan LEGOLAND® Discovery Centre Hong Kong baru-baru ini, yang merupakan satu-satunya tarikan pelancongan tertutup yang mesra keluarga dan bertemakan LEGO.

Mengenai Madame Tussauds Hong Kong

Madame Tussauds Hong Kong menampilkan 12 zon pameran menakjubkan, dan memiliki koleksi lebih 100 patung lilin, bermula dari pelakon Hollywood yang glamor sehingga bintang K-pop, artis, ahli muzik dan jaguh sukan kegemaran anda. Galeri ini bukan sekadar tarikan pelancong yang menarik, malahan pengunjung kami dapat mengalami teknologi kami yang realistik dan interaktif di setiap sudut pameran!

Dibuka pada Ogos 2000, Madame Tussauds Hong Kong merupakan muzium lilin yang pertama di Asia. Kami mempunyai 25 lokasi unik di seluruh dunia yang terletak di New York, Shanghai, Amsterdam, Sydney, dan sudah pastinya London yang merupakan titik permulaan kisah kami. Sepanjang sejarah kami selama lebih 250 tahun, Madame Tussauds telah mengabadikan ribuan selebriti, bintang, serta wira dan wirawati terkenal, dengan menampilkan perincian yang begitu teliti bagi menawarkan peluang kepada para pengunjung untuk “bertemu” idola mereka!

Madame Tussauds Hong Kong beroperasi dari 11 pagi hingga 8 malam setiap hari (masa kemasukan terakhir ialah 7.30 malam). Untuk pertanyaan tiket, sila hubungi talian (852) 2849 6966 atau layari www.madametussauds.com/hongkong/.

Mengenai Merlin Entertainments

Merlin Entertainments adalah peneraju hiburan keluarga yang berasaskan lokasi di peringkat global. Sebagai pengendali tarikan pelancong No. 1 di Eropah dan kedua terbesar di dunia, Merlin kini mengendalikan 137 tarikan pelancong, 22 hotel dan 6 kampung percutian di 24 negara merentasi 4 benua. Matlamat Merlin adalah untuk memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan kepada berjuta pengunjung dari seluruh dunia menerusi jenama ikonik dan pelbagai format tarikan pelancong serta komitmen dan semangat daripada kakitangannya. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dini Schatzmann Kongsi & Umum Status Hubungan Dengan Janna Nick

LEGOLAND Malaysia

LEGOLAND® Malaysia Resort Meraikan Persahabatan di LEGO® Friends Party