“Islam tidak menghalang seseorang untuk berhibur, namun biarlah ada mesej,”
– Habib Ali
ADAKAH Islam mengambil berat tentang kesenian? Ya, kata Habib Ali Zaenal Abidin al Hamid, ulama yang juga Penyelia Kehormat Nurflix.TV, platform terbaharu penstriman dalam talian yang bakal dilancarkan Januari, tahun depan.
Begitupun, menurutnya dalam kesenian yang diambil berat oleh Islam adalah mesejnya, iaitu dengan ada risalah dan motif, tidak sekadar hiburan walaupun seseorang itu dibolehkan untuk berhibur.
“Islam tidak menghalang seseorang untuk berhibur, namun biarlah ada mesej. Islam tidak menghalang seseorang untuk berlakon tapi berlakonlah agar dalam lakonan itu ada mesejnya, katanya, seraya menekankan dalam apa jua bidang yang diceburi, “sebagai seorang beridentiti seorang Muslim, mesti ada nilai Islam yang kita boleh kembangkan kepada diri kita sendiri.”
Ia lantas membawa kepada kelahiran Nurflix.TV yang menurut siaran media yang diedarkan pada majlis The Nurflix Initiative di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, baru ini, “menawarkan kandungan digital baharu, segar, tulen dan selamat tontonan untuk semua jenis golongan dengan berlandaskan aspek adab dan akhlak” sebagai suatu usaha untuk memperkasakan pembangunan ekonomi dan sahsiah diri.
Ini bermakna, platform penstriman berkonsep langganan yang dibangunkan Sutera Hijau Venture Bhd itu yang berlandaskan “kerjasama dua hala, antara golongan ulama dan karyawan industri kreatif bagi menghasilkan konten terpandu serta menghiburkan” akan menyertai industri yang dikuasai penyedia khidmat penstriman popular, Netflix yang disifatkan memiliki seleksi hebat program TV, filem dan karya tulen dengan penambahan konten berlesen dibuat dari semasa ke semasa.
Netflix sendiri malah berdepan saingan antaranya daripada HBO, Disney Plus dan Apple Plus.
Di Malaysia, konten tidak ditapis yang ditawarkan platform digital ini, terutama Netflix menyaksikan banyak perdebatan, termasuk di Parlimen berikutan judul-judul yang disifatkan berisiko, termasuk terhadap perkembangan anak-anak.
Mac lalu, portal MalaysiaKini melaporkan, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid memberitahu Dewan Rakyat mengenai adanya “elemen yang menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat” melalui konten yang disediakan Netflix, membabitkan babak berunsur seks dan representasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sebagai pendahulu dalam penyediaan perkhidmatan hiburan internet dunia, Netflix dilaporkan mempunyai 158 juta pelanggan berbayar di 190 negara yang menonton program daripada siri TV, dokumentari malah filem.
Konten Netflix merangkumi pelbagai genre dan bahasa dengan judul popular, antaranya drama jenayah Sepanyol, Money Heist; dokumentari ikon bola keranjang, Michael Jordan bersama pasukan Chicago Bulls lewat The Last Dance selain siri drama lebih awal berdasarkan kisah benar kartel dadah Colombia, Narcos.
Soalnya, dalam dunia siber tanpa sempadan mampukah Nurflix.TV menerobosi pasaran dengan konten yang dilabel patuh syariah yang mungkin dianggap terhad? Bolehkah ia bersaing, misalnya daripada segi kadar langganan berbanding iFlix dan Viu, selain Netflix yang pada Oktober tahun lalu memilih Malaysia untuk penawaran pelan mobile pertama di Asia Tenggara dengan hanya RM17 sebulan bagi akses kepada semua katalog kandungan tempatan dan dunia, menonton tanpa gangguan atau iklan di telefon bimbit atau tablet.
Idea asal untuk mewujudkan Nurflix.TV, menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syah Mohamed, adalah bagi mewujudkan sebuah ekosistem mampan diri yang dapat memberi manfaat kepada pengguna serta penyedia konten menerusi platform yang disediakan.
“Kalau dilihat pada masa ini, terlalu banyak kandungan digital yang semakin tidak terkawal, tidak ditapis, tidak memiliki norma dan nilai budaya yang ideal,” katanya, merujuk konten berbeda Nurflix.TV yang dijangka memperkenalkan 12 judul, termasuk drama dan filem, secara percuma menerusi episod pertama sepanjang siaran percubaan selama tiga bulan, bermula Oktober ini.
Sambil mensasarkan 1 juta langganan menjelang akhir Januari tahun depan, Syah berkata, pihaknya yang turut berkolaborasi dengan selebriti seperti Mira Filzah, Yasin Sulaiman, Wany Hasrita dan Adam Corrie turut mengalu-alukan sumbangan penggiat industri termasuk bakat baharu bagi menghasilkan konten bermutu serta kreatif, bersesuaian dengan tagline “Be Part Of Us.”
Ini selari dengan penjelasan awal Habib Ali, mengenai pemerhatian Rasulullah SAW yang mendasari kesenian supaya Islam tidak dilihat sebagai jumud atau kaku, malah menghargai hiburan dan seni namun tetap dengan mesej tersendiri yang perlu disampaikan sebagai seorang Nabi dan Rasul.
Ia juga, katanya besesuaian dengan misi utama Baginda iaitu untuk menyempurna, menyebar atau mendepankan akhlak yang merupakan risalah khas, sebab diutus, yang merangkumi segala gerak geri manusia di dalam kehidupan dan menjadi tanggungjawab seorang mukmin untuk meneruskan amanah itu.
“Islam, tidak ada dalamnya, rohnya kecuali akhlak. Semakin akhlak ditampilkan akan dilihat keindahan Islam oleh orang lain walaupun Islam itu sendiri sudah indah.
“Apa yang berlaku kepada identiti Islam itu sendiri, Islam ini datang daripada asing dan akan kembali asing, maksudnya Islam dulu datang di tengah orang yang tidak beriman dan di akhir zaman, Islam itu menjadi asing di tengah-tengah orang Islam sendiri disebabkan kekurangan daripada orang Islam dalam memainkan peranan konten Islam itu sendiri, ” tambahnya.
Inti kesenian itu, kata Habib Ali lagi, dalam apa pun kemahiran yang diberikan Allah hendaklah bermesej.
“Mesej itu bersesuaian dengan agama yang kita yakini, yang kita merasa mulia dan bangga dengan agama yang telah Allah berikan kepada kita. Janganlah kebanggaan diambil kita sendiri tapi kongsilah dengan orang lain.
“Sebaik-baik orang adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Oleh itu, sebagai seorang Muslim kita perlu memainkan peranan di dalam mengedepankan Islam melalui konten yang sebenar sebagaimana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Artikel ditulis oleh Zurina Waji dari Portal Rumi Explorer