Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah memenangi banyak kawasan pilihanraya baru-baru ini, memberi jaminan industri hiburan negara tidak akan dianaktirikan atau disisih dari arus pembangunan negara. Menurut ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo, beliau mengatakan pihak industri hiburan sepatutnya tidak terlalu fobia apabila melihat kebangkitan parti alternatif seperti DAP, keAdilan dan PAS dalam memegang tampuk pemerintahan beberapa buah negeri, tetapi pihak artis khasnya atau industri hiburan amnya seharusnya melihat ianya menjadi satu transisi yang memberi peluang kepada mereka untuk mencuba bidang baru yang berlandaskan kepada keharmonian, ketakwaan dan mematuhi ajaran agama.
Dr Lo Lo juga menambah, agama Islam sendiri tidak menyisihkan hiburan, kerana hiburan juga memainkan peranan tersendiri dalam agama itu. Sedangkan ketika penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari kota Mekah ke Madinah, baginda disambut dengan nyanyian-nyanyian dan permainan alatan-alatan muzik seperti kompang, dan baginda sendiri tidak menengahnya. Namun, di dalam Islam, yang mementingkan tatasusila serta ingin mencari keredhaan Allah, mesej yang ingin disampaikan di dalam sesuatu bentuk hiburan menjadi begitu kritikal bagi memastikan ianya tidak memesongkan akidah atau pun menjerumus mereka yang terlibat ke lembah maksiat. Beliau ditemui ketika menghadiri persembahan perdana teater muzikal sempena sambutan Maulidur Rasul, Sirah Junjungan yang diarahkan oleh pengarah prolifik iaiti saudari Ierma Fatima.
Beliau menambah, contah terbaik adalah hukum hudud. Sebenarnya, hukum hudud bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi bentuk hukuman yang dilaksanakan adalah berbentuk pengajaran kepada orang lain. Dengan melihat mereka yang dijatuhi hukuman, maka, ianya menjadi pengajaran kepada mereka yang mempunyai ‘means rea’ dari melakukan jenayah itu. Dengan ini mewujudkan masyarakat yang lebih selamat, aman dan makmur dan memastikan negara dapat mencapai wawasan 2020. Begitu juga dengan hiburan, PAS sendiri sedar, dunia hiburan memainkan peranan yang cukup penting di dalam masyarakat. Artis menjadi ikon kepada masyarakat, perilaku mereka, fesyen pakaian serta gaya hidup sering menjadi ikutan anak muda, maka PAS rasakan, adalah wajar mereka yang terlibat dalam bidang ini ‘berdakwah’ dalam memastikan remaja yang bakal memimpin negara ini kelak, akan disuburi dengan norma-norma hidup yang positif.
Bagi Dr Lo Lo sendiri yang pernah terlibat dalam kegiatan seni ketika alam persekolahan seperti pengarah teater, dia amat berminat untuk duduk bersama-sama dengan persatuan artis serta bertemu dengan mereka yang terlibat dalam bidang hiburan dan menyatakan pendirian PAS dalam hal-hal berkaitan hiburan ini. Pihak yang terlibat dalam industri ini perlu memahami inspirasi dan hala tuju yang ingin dibentuk oleh PAS bagi memastikan hiburan itu bersesuaian. Menurut beliau, bidang hiburan seperti air yang mengalir deras, jadi, adalah menjadi tanggungjawab PAS dengan kerjasama pengiat-pengiat seni, membentul aliran air itu menjadi lebih harmoni dan memberi manfaat kepada masyarakat. Sebenarnya, tidak rugi jika mesej yang baik dan membawa ketakwaan disampaikan dalam bentuk hiburan, kerana, mungkin dengan ini masyarakat akan menjadi lebih bertakwa dan memahami tanggungjawab sesama manusia seterusnya menjadi kehidupan lebih harmoni, itulah apa yang ingin dimahukan oleh PAS, bahkan rasanya masyarakat pasti bersetuju dengan perkara ini, tambah beliau lagi.
Sebenarnya, di dalam peradaban Islam, hiburan bercirikan keagamaan, bukan semata-mata berunsurkan nasyid, tetapi ianya bergerak melepasI satu garis kekangan yang ramai orang melihat sebagai satu batasan yang cukup kolot. Jika dilihat di Amerika Syarikat sendiri, ada anak-anak muda Islam Amerika menghasilkan muzik Hip Hop yang menyeru kepada kebaikan, dan di Malaysia, kumpulan seperti Too Phat sendiri pernah membawa lagu Hip Hop berjudul (XXXXX) , begitu juga Ramli Sarip dan beberapa artis yang lain, membawa lagu mempunyai mesej yang ketuhanan. Begitu juga dalam bidang perfileman, contoh terbaik yang boleh kita lihat ialah negara Iran, di mana mereka menghasilkan filem-filem berlandaskan budaya serta ajaran Islam, tetapi filem yang dihasilkan selalu memenangi anugerah di serata dunia.
Beliau juga menambah, di Malaysia, kerajaan PAS Kelantan juga sedang mengambil langkah yang serupa dengan cuba untuk mewujudkan huburan Islam ini, tetapi mungkin atas alasan sendiri, pihak media perdana agak kurang memberi liputan. Ini menyebabkan masyarakat membuat andaian dunia hiburan menjadi ‘mati’ di negeri tersebut, sedangkan masih ramai aktivis hiburan yang sedang bergiat di sana. Seperti yang ditekankan tadi, PAS tidak mahu bentuk hiburan yang melalaikan dan mendorong kepada kemaksiatan, namun mereka cukup mengalakkan hiburan berbentuk mendidik dan menyeru kepada kebaikan. Jadi, Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju, sepatutnya menjadi ‘role model’ kepada penghasilan filem-filem serta hiburan-hiburan Islam yang lebih bermutu dan dinamik bukan sahaja untuk pasaran tempatan, bahkan antarabangsa. Ini kerana penduduk Islam berjumlah hampir separuh dari penduduk dunia, dan ini memastikan pasaran yang cukup luas bagi pengiat seni tempatan menerobos pasaran ini.
Secara peribadi, Dr Lo Lo, memohon kepada pihak yang terlibat dalam bidang hiburan ini, memberikan peluang kepada PAS untuk berkerjasama dengan mereka dalam menzahirkan satu hala tuju dunia hiburan tempatan, bukan untuk kepentingan mana-mana pihak, tetapi untuk generasi muda yang cukup mendambakan hiburan, agar mereka menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam memimpin negara ini di masa depan.
[tags]dunia hiburan, enter-tainment, hollywood, buzz, news celebrity, parti islam semalaysia, sejarah pas, barisan nasional blog, dr lolo, pemenang abp, senarai pencalonan, role model[/tags]