in

Paperplain Pursuit dalam Xpresi Kembara

XPRESI KEMBARA KETENGAHKAN BAND 1MALAYSIA 20 FEBRUARI INI DI TV1

Berkonsepkan 1Malaysia, program Xpresi Kembara terbitan RTM yang semakin digemari penonton kalangan remaja minggu ini bersama sebuah kumpulan muzik dikenali sebagai Paperplain Pursuit yang dianggotai lima pemuda berbilang bangsa singgah mengunjungi tempat-tempat menarik sekitar ibukota Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara.

Jalan-jalan bersama Paperplain Pursuit begitu istimewa kerana penonton dan peminat bukan sahaja diperkenalkan dengan tempat-tempat menarik malah berkongsi budaya tiga bangsa berbeza melibatkan Melayu, Cina dan India di negara kita yang mewakili anggota kumpulan ini yang mengetengahkan nama John Oommen, 26, diposisi vokal utama dan gitar, Irwan Haadi, 29, (pemain gitar), Andrew Yap, 26, (vokal dan pemain dram), Tan Hiang Liang, 26, (vokal dan pemain bass) dan Yam Wern-Jhien, 26, selaku vokalis dan pemain keyboard).

Kumpulan yang sedang menjadi siulan ramai dengan single bertajuk Lupakan Dunia ini ternyata memiliki latarbelakang bukan calang-calang kerana selain terlibat dalam bidang muzik yang menjadi minat mereka ini, masing-masing memiliki kerjaya sendiri sebagai akauntan, jurutera, doktor perubatan dan peguam sebagai kerjaya tetap.

Kesempatan yang ada diluangkan mereka mengunjungi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang menjadi daya tarikan utama pengunjung luar negara ke negara kita. Malah menariknya mereka berkongsi saat-saat manis bersama spesis unik di puncak kota yang mana Menara KL melakar sejarah tersendiri apabila memiliki sebuah mini zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan eksotik khas buat tatapan pengunjung.

Lebih dikenali sebagai KL Tower Animal Zone, sejak dilancarkan pada 14 November lalu, hingga kini ia telah berjaya mencatat kehadiran ramai pengunjung.

Destinasi mereka singgah ke Istana Budaya melihat persembahan Mak Yong yang menjadi kebanggaan di kalangan masyarakat Melayu Kelantan. Sinonim dipersembahkan orang Melayu pastinya ia pengalaman berbeza bagi teman-teman dalam kumpulan ini yang pertama kali berkesempatan menyaksikan persembahan ini secara langsung.

Keseronokkan mereka dalam berkongsi destinasi menarik turut membawa mereka jalan-jalan sekitar kawasan tumpuan masyarakat berbilang kaum termasuklah Masjid India, Petaling Street dan Pasar Seni. Apatahlagi ketiga-tiga tempat ini memiliki keistimewaan tersendiri yang membuatkannya menjadi tumpuan semua tanpa mengira bangsa kerana menyediakan banyak pilihan barangan dan pakaian dengan harga yang berpatutan.

Setelah penat berjalan, mereka sempat cuci-cuci mata menaiki bas mengelilingi ibukota dan menjamu selera di Kedai Nasi Lemak Antarabangsa yang terkenal di seluruh negara dengan menu nasi lemaknya yang menjadi tumpuan semua.

Rasailah kemanisan perpaduan dan semangat 1Malaysia menerusi Xpresi Kembara bersama Paperplain Pursuit pada 20 Februari 2010 (Sabtu), jam 12.31 tengah hari di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Concert Placebo Live in Kuala Lumpur

My Name is Earl di ntv7