Pada masa yang sama slot ini membawakan kisah realiti masyarakat juga isu ‘berat’ namun disampaikan dengan santai dan bersahaja bersesuai dengan citarasa penonton.
Justeru pada 13 Julai ini, pukul 9.00 malam di TV1, RTM menyiarkan telemovie bertajuk “Terima Kasih Indah” yang memberi ruang seketika mengangkat kisah realiti seorang pendidik yang berperang dengan perasaan sendiri dan dalam dilema apabila mendapat penempatan mengajar di luar bandar.
Menampilkan pelakon Mimi Ernida, yang membawakan watak utama sebagai Cikgu Indah, telemovie ini turut dibintangi oleh Nazmi Adhwa, Noralia Maisarah, Siti Sarah Daud, Firdaus Ghufran dan Melanie Tan.
Kisah ini bermula apabila seorang guru baharu bernama Indah ditempatkan di sebuah sekolah menengah di kawasan pedalaman negeri Perak. Sesampainya Indah di kampung tersebut dia sudah menjadi tertekan kerana tempat tinggalnya yang hanya rumah papan dengan nyamuk dan bunyi cengkerik serta cicak.
Indah berkali-kali menelefon ayahnya agar membantunya keluar dari kawasan pedalaman itu dan dia mahu mengajar di Kuala Lumpur. Namun, permohonan Indah itu tidak dilayan oleh bapanya kerana dia mahu Indah belajar makna kesusahan hidup di kawasan pedalaman.
Hal ini disebabkan Indah telah dibesarkan di bandar besar dengan semua kemudahan moden dan selama ini Indah memang gemar membeli belah dan bersenang-senang sahaja. Bagi ayah Indah, inilah masa yang sesuai untuk melatih Indah mengenali kesusahan masyarakat pedalaman.
Pada mula kehadirannya di sekolah tersebut Indah menjadi seorang guru yang garang, kasar, tidak menghormati murid-muridnya dan sering mendenda setiap kesalahan mereka. Dengan cara ini Indah tidak disukai oleh murid-muridnya.
Walau bagaimanapun, ada beberapa orang guru yang menasihati Indah agar menggunakan pendekatan kasih sayang, sopan santun dan mengenali murid-muridnya dalam setiap sesi interaksi dan pengajaran di sekolah tersebut.
Indah cuba untuk menyesuaikan dirinya dengan budaya dan suasana sekolah serta masyarakat di situ. Semua murid-muridnya belajar dengan rajin tanpa tekanan dan apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan Indah sangat gembira dan bersyukur kerana hampir semua mereka berjaya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diberikan oleh murid-murid kepada Indah.
Namun adakah Indah memilih untuk terus mengajar di sekolah sama atau dia kemudiannya memutuskan untuk kembali semula ke bandar? Ikuti kesudahannya di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.