Orang Semantan pula, kalau bukan kerabat Bahaman, adalah pengikutnya yang bersemangat anti-British. Semasa di sekolah lagi, kita didedahkan dengan hikayat seperti Tajul Muluk, Sultan Bistamam, kisah-kisah Perang Jawa dan Syair Siti Zubaidah yang meniupkan semangat perjuangan dalam diri.
Menerusi slot Panggung RTM yang mengetengahkan karya arahan Feroz Abdul Kader bertajuk telemovie “Pengantin Dari Semantanâ€, kisah kepahlawanan ini dikongsikan kepada semua iaitu tentang Cabaran yang dihadapi oleh seorang lelaki berketurunan Melayu Inggeris yang mahu mengahwini gadis Semantan.
Juga diceritakan tentang seorang lelaki berketurunan Melayu Inggeris yang berharta menyangka dia mudah boleh mengahwini seorang gadis Melayu berdarah Semantan yang mementingkan adat, tradisi dan agama. Akhirnya dia diajarkan agar menghormati adat dan keturunan gadis tersebut.
Menampilkan pelakon utama Daler Yusuf, bergandingan dengan Sasqia Dahuri, selain dibantu boleh Meor Mohd, Adi Kelantan, Namron dan Farah, ia menemui penonton pada 18 Julai ini, pukul 10.00 malam menerusi saluran TV1.
Drama yang berlatarbelakangkan kehidupan di bandar dan di desa ini menonjolkan watak seorang gadis kampung berketurunan Semantan yang bernama Orkid. Orkid bekerja sebagai seorang eksekutif dalam sebuah syarikat pemasaran yang dipunyai oleh Danial, seorang lelaki yang berketurunan Melayu Inggeris. Danial seorang lelaki yang kaya dan menjalani kehidupan secara orang Inggeris.
Setelah beberapa bulan Orkid bekerja di syarikat tersebut, Danial mula tertarik hati kepada Orkid dan cuba memikat Orkid. Danial menyangka Orkid akan mudah jatuh cinta kepadanya kerana kekayaannya. Sangkaan Danial semuanya meleset.
Apabila Danial meluahkan rasa hatinya kepada Orkid bahawa dia ingin mengahwini Orkid, dia diminta oleh Orkid agar mengikut adat keturunan Pendekar Semantan. Danial perlu pergi meminta kebenaran daripada ayahnya Haji Muhamad Jiwa.
Haji Muhamad Jiwa adalah seorang lelaki yang berketurunan Pendekar Semantan. Haji Muhamad Jiwa mempunyai pemikiran yang berbeza tentang orang yang berdarah Inggeris. Hal ini disebabkan oleh fakta sejarah bahawa orang Inggeris adalah bangsa penjajah yang pernah menjajah tanah air ini dan menjajah bangsanya.
Apabila mendapat panggilan telefon daripada Danial bahawa dia mahu berkahwin dengan Orkid, Haji Muhamad Jiwa berasa tercabar kerana cara Danial meminta kebenaran daripadanya seakan-akan ‘kurang ajar’ dan tidak bersopan. Walau bagaimanapun, Haji Muhamad Jiwa bersetuju untuk bertemu dengan Danial.
Apabila Danial sampai di rumah Haji Muhamad Jiwa, Danial sangat terkejut apabila melihat cara hidup ayah kepada Orkid itu yang sangat berbeza dengan cara kehidupannya sebagai seorang yang berdarah Inggeris.
Haji Muhamad Jiwa menjalani kehidupannya seperti pendekar. Setiap hari dia akan mencari herba di hutan, meminum ubatubat tradisional yang diproses sendiri, membelah kayu api dan mengamalkan ilmu mempertahankan diri. Bagi Danial perkara ini sangat asing. Lantas Haji Muhamad Jiwa menghalau Danial pulang dan mengatakan bahawa Danial tidak layak menjadi menantunya.
Walau bagaimanapun, Danial terus bersemangat untuk tinggal di rumah Haji Muhamad Jiwa dan belajar ilmu kepahlawanan dengan mengatakan bahawa dalam dirinya bukanlah seluruhnya darah Inggeris tetapi dia juga mempunyai darah pendekar kerana ibunya adalah orang Melayu. Haji Muhamad Jiwa mengajar Danial ilmu mempertahankan diri dan adat budaya orang Melayu.
Setelah beberapa bulan tinggal di sana sikap Danial yang sombong dan menganggap dirinya hebat telah berubah kepada sikap yang lebih baik, tidak sombong, dan lebih positif. Di sebalik kesungguhan ditonjolkan Danial adakah berjaya mengubah penerimaan Orkid terhadap lelaki itu? Ikuti kesudahannya di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.