Tak pernah terbayang dalam fikiran, suatu hari nanti Budiey akan menggunakan cincin untuk mengesan dan menjejak kesihatan dengan gaya yang cukup elegam semacam ini. Ya! Sekarang ini kita dah boleh menjejek kesihatan dengan menggunakan cincin sahaja. Kalau sebelum ini kita menggunakan jam tangan, tapi inilah masanya anda bertukar dengan Samsung Galaxy Ring!
Samsung kini memperkenalkan satu lagi inovasi dalam dunia teknologi boleh pakai menerusi Galaxy Ring, sebuah cincin pintar yang menyatukan fungsi pemantauan kesihatan secara menyeluruh dalam rekaan yang elegan, ringan dan selesa dipakai sepanjang hari.
Buat mereka yang mungkin kurang gemar memakai jam tangan pintar yang berat atau besar, Galaxy Ring hadir sebagai alternatif yang lebih ringkas tetapi masih padat dengan ciri-ciri pintar.
Pandang Pertama: Reka Bentuk Ringkas Tetapi Penuh Gaya Dan Kukuh
Galaxy Ring tampil dengan rekaan klasik berkilauan, berukuran hanya 7mm lebar dan 2.6mm tebal, menjadikannya hampir tidak terasa di jari. Reka bentuknya yang cekung ke dalam menyerlahkan sisi moden dan elegan, menyerupai rim kereta mini.
Ia diperbuat daripada titanium yang cukup tahan lasak yang menjadikannya sesuai dipakai sepanjang masa – termasuk ketika mandi, berenang atau snorkeling – kerana ia kalis pada air hingga kedalaman 100 meter. Cincin ini juga terlalu ringan sehingga Budiey terlupa yang Budiey sedang memakainya!
Selesa Dipakai Dan Sesuai Untuk Semua Saiz Jari
Samsung menawarkan Galaxy Ring dalam sembilan saiz berbeza (US size 5 hingga 13), dan pengguna disarankan untuk menggunakan kit pengukuran khas sebelum membeli. Proses ini penting untuk memastikan cincin dipakai dengan selesa – tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar. Bahkan, pengguna digalakkan memakai cincin contoh selama sekurang-kurangnya 24 jam untuk memastikan kesesuaian sebenar.
Spesifikasi Galaxy Ring
Galaxy Ring tampil dengan reka bentuk yang sangat ringkas namun penuh teknologi – berukuran hanya 7.0mm lebar dan setebal 2.6mm, dengan berat sekitar 2.3g hingga 3.3g bergantung kepada saiz (antara saiz 5 hingga 15) menjadikannya antara peranti boleh pakai paling ringan di pasaran. Ia tersedia dalam 9 saiz berbeza, menawarkan keselesaan maksimum mengikut bentuk jari pengguna.
Dari segi prestasi, Galaxy Ring dikuasakan oleh bateri kecil berkapasiti antara 18mAh hingga 23.5mAh, yang mampu bertahan sehingga 7 hari penggunaan, bergantung kepada corak penggunaan harian.
Ia juga didatangkan dengan kotak pengecas mudah alih yang menyerupai kotak barang kemas, dilengkapi dengan bateri 361mAh untuk mengecas semula cincin anda dengan mudah di mana-mana. Cincin pintar ini juga mempunyai tahap ketahanan air 10 ATM dan penarafan IP68, membolehkannya digunakan ketika mandi, bersenam, atau dalam keadaan lembap
Cincin Kecil, Fungsi Besar – Penjejak Kesihatan 24/7
Di sebalik reka bentuk minimalisnya, Galaxy Ring mempunyai fungsi pemantauan kesihatan yang sangat komprehensif, semuanya boleh diakses melalui aplikasi Samsung Health tanpa memerlukan sebarang langganan. Antara ciri utama termasuk:
- Skor Tenaga Harian (Energy Score) berdasarkan aktiviti, kadar degupan jantung dan kualiti tidur pada malam sebelumnya.
- Pemantauan degupan jantung secara langsung sepanjang hari dan ketika bersenam, termasuk amaran jika kadar terlalu tinggi atau rendah.
- Pengesanan automatik aktiviti seperti berjalan dan berlari.
- Jejak kalori dan tempoh senaman serta zon kadar jantung sasaran semasa bersenam.
- Pemantauan tidur mendalam dengan rekod pergerakan, kadar pernafasan, kadar jantung dan tempoh sebenar tidur.
- Penjejakan kesihatan wanita melalui bacaan suhu kulit untuk ramalan kitaran haid dan ovulasi.
- Sensor tambahan untuk mengesan kadar oksigen dalam darah, suhu kulit dan pergerakan fizikal harian.
Pengalaman Lebih Personal Dengan Kuasa Galaxy AI
Samsung memperkenalkan teknologi Galaxy AI dalam cincin ini yang membantu pengguna menerima cadangan kesihatan secara peribadi mengikut matlamat kesihatan masing-masing. Pengguna juga akan menerima kad pemacu (Booster Cards) dalam aplikasi untuk memantau kemajuan dan menetapkan sasaran seperti tidur lebih nyenyak atau mengekalkan berat badan ideal.
Integrasi Pintar Dengan Ekosistem Galaxy
Salah satu ciri yang menarik perhatian dalam Galaxy Ring ialah fungsi “Double Pinch” – di mana pengguna hanya perlu mengetikkan ibu jari dengan jari telunjuk atau jari tengah dua kali untuk mengaktifkan sesuatu arahan. Buat masa ini, fungsi ini boleh digunakan untuk mengambil gambar melalui aplikasi kamera atau menutup jam penggeradengan lebih mudah dan pantas. Bayangkan, tanpa perlu sentuh skrin telefon pun, hanya dengan satu gerakan jari, segala tugasan kecil dapat diselesaikan dengan elegan.
Fungsi ini sangat sesuai untuk situasi harian seperti nak ambil gambar “wefie” dari jauh tanpa perlu cari butang pada skrin, atau bila kita sedang tidur lena dan penggera berbunyi — double pinch sahaja dan alarm pun berhenti. Memang mudah, cepat dan mesra pengguna.
Satu lagi kelebihan besar Galaxy Ring ialah keupayaannya untuk berintegrasi dengan pelbagai peranti dalam ekosistem Samsung, menjadikannya lebih berguna dan praktikal. Apabila disambungkan dengan telefon pintar Galaxy, pengguna boleh menggunakan gerakan Double Pinch untuk mengawal fungsi kamera dan penggera dengan lebih intuitif.
Lebih menarik, apabila Galaxy Ring ini digandingkan pula dengan Galaxy Watch, kedua-duanya boleh bekerjasama untuk mengumpulkan dan menyampaikan data kesihatan yang lebih lengkap dan tepat. Ini termasuk bacaan seperti degupan jantung, corak tidur, tahap stres, dan sebagainya — sekaligus memberi gambaran kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pengguna.
Fungsi ini menjadikan Galaxy Ring sebagai pelengkap sempurna kepada jam pintar Samsung, lebih-lebih lagi untuk mereka yang mementingkan gaya hidup sihat dan teknologi canggih dalam satu masa.
Kemudahan Mencari Cincin Dan Ciri Tambahan Menarik
Satu lagi ciri bijak adalah fungsi ‘Find My Ring’ – sangat berguna jika anda terlupa di mana meletakkan cincin ini kerana terlalu ringan! Dengan hanya beberapa langkah mudah dalam aplikasi Samsung, anda boleh mengaktifkan LED pada cincin untuk mencarinya dengan mudah walaupun ia berada dalam keadaan luar talian.
Reaksi Awal & Harapan Pada Masa Hadapan
Ditawarkan dalam tiga warna – Ceramic Black, Platinum Silver dan Gold – reka bentuk dan fungsinya menjadi tanda permulaan kepada era baru peranti boleh pakai Samsung.
Walaupun Galaxy Ring masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dalam aspek gestur kawalan yang masih terhad, ramai yang sudah mula tertarik dengan kemudahannya, terutama pengguna yang tidak selesa memakai jam tangan pintar ketika tidur.
Samsung juga memberi bayangan bahawa pada masa depan, cincin ini mungkin boleh berhubung dengan tilam pintar untuk menyesuaikan suhu jika ia mengesan pengguna terlalu panas ketika tidur – satu visi futuristik yang cukup menarik!
Bermula dari 9 April hingga 30 April 2025, Samsung Malaysia membuka peluang eksklusif kepada pengguna terpilih daripada Siri Galaxy Z dan Siri Galaxy S untuk memiliki Galaxy Ring, sejenis aksesori pintar terkini yang bukan sahaja canggih, tetapi juga mampu melengkapkan gaya hidup digital masa kini.
Apa yang menjadikan Galaxy Ring ini istimewa ialah ia dibuat khas mengikut saiz jari pengguna, memberikan keselesaan maksimum dan menjamin pengalaman penggunaan yang lebih intuitif. Ini bukan sekadar aksesori bergaya, tetapi satu inovasi pintar yang menyatu indah dengan gaya hidup digital masa kini.
Langkah Demi Langkah Untuk Dapatkan Galaxy Ring Anda
Kalau anda tergolong dalam kalangan pengguna bertuah yang memiliki peranti dalam siri Galaxy S atau Z yang disenaraikan, berikut adalah langkah mudah dan praktikal untuk mendapatkan Galaxy Ring anda:
1. Dapatkan Kod Jemputan Melalui Aplikasi Samsung Members
Pertama sekali, buka aplikasi Samsung Members di peranti Galaxy anda. Kemudian, klik pada bahagian ‘Benefit’, dan cari sepanduk promosi Galaxy Ring. Di situ, anda akan diberikan kod jemputan eksklusif. Jangan risau kalau belum bersedia membuat pembelian, kerana kod ini akan disimpan dalam seksyen “Kupon Saya” sehingga anda bersedia.
2. Lawati Kedai Pengalaman Samsung (Samsung Experience Store) Terdekat
Langkah kedua ini penting untuk memastikan anda mendapat pengalaman mencuba Galaxy Ring secara fizikal. Anda boleh melihat sendiri reka bentuk, mencuba pelbagai saiz, dan mendapatkan bantuan daripada pembantu jualan Samsung yang berpengalaman.
3. Pilih Saiz Dan Warna Yang Paling Sesuai
Galaxy Ring bukan sahaja hadir dalam pelbagai saiz, tetapi juga tersedia dalam beberapa pilihan warna elegan. Nota penting: Samsung menyarankan supaya anda mencuba cincin ini pada jari telunjuk atau jari tengah. Ini kerana dua jari ini sesuai untuk mengakses ciri kawalan isyarat, seperti gerak isyarat dua kali cubitan (double pinch) yang boleh digunakan untuk mematikan penggera atau menangkap gambar pada peranti Galaxy anda.
4. Sahkan Pembelian Anda Secara Dalam Talian Atau Di Stor
Jika sudah yakin dengan pilihan saiz dan warna, anda boleh teruskan pembelian melalui laman web rasmi Samsung di www.samsung.com/my/multistore/my_ea_esh/ atau terus melalui aplikasi Samsung Members.
Nota penting: Tempoh menunggu sekitar enam minggu diperlukan untuk Galaxy Ring anda disiapkan dan dihantar. Bagi anda yang ingin terus membeli di kedai, hanya perlu tunjukkan kod jemputan anda kepada pembantu jualan di stor Samsung berhampiran.
Senarai Model Galaxy Yang Layak Untuk Pembelian Galaxy Ring
Hanya pengguna peranti yang disenaraikan di bawah layak untuk membuat pembelian Galaxy Ring melalui sistem jemputan ini. Jadi pastikan telefon anda termasuk dalam senarai berikut:
Galaxy S25 / S24 / S23 / S22 / S21 / S20 Series
Galaxy S24FE / S23FE / S22FE / S21FE Series
Galaxy Z Flip6 / Z Flip5 / Z Flip4 / Z Flip3 Series
Galaxy Z Fold6 / Z Fold5 / Z Fold4 / Z Fold3 Series
Kalau anda guna mana-mana model dalam senarai ini, anda boleh mula aktifkan peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu dan bergaya dengan Galaxy Ring.
Untuk maklumat lanjut dan terperinci tentang Galaxy Ring ini, anda boleh layari laman rasmi Samsung di www.samsung.com/my/offer/galaxy-ring
Apa Kata Budiey?
Secara keseluruhannya, Budiey melihat Galaxy Ring sebagai satu produk revolusioner yang menepati keperluan pengguna moden yang mengutamakan keselesaan, gaya dan teknologi dalam satu peranti ringkas. Ia sesuai untuk mereka yang aktif, mementingkan kesihatan dan tidak mahu terlalu bergantung pada jam tangan pintar. Galaxy Ring jelas menunjukkan hala tuju Samsung dalam membentuk masa depan peranti boleh pakai.
Samsung boleh menambah lebih banyak fungsi gestur pada masa akan datang, mungkin seperti menjawab panggilan atau melangkau muzik – barulah betul-betul rasa seperti peranti futuristik! Dan yang paling penting, semoga harga yang ditawarkan nanti mesra poket rakyat Malaysia. Kita tunggu dan lihat ya!