Sebuah acara pameran seni kontemporari bertema ‘ARTCONOMICS: Ali Nurazmal Yusoff’s 8th Solo Exhibition’, yang dikatakan sebagai penerokaan hubungan dinamik antara seni dan ekonomi, kini sedang diadakan mulai 2 Jun hingga 2 Julai di Universiti Malaya Art Gallery (UM).
Pameran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai peranan ekspresi seni dalam fabrik dinamik ekonomi, menggabungkan elemen seni dengan aspek ekonomi yang sering dilihat sebagai berbeza.
Pameran ini dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (Pekuma) dengan kerjasama Galeri Seni UM. Menurut kenyataan rasmi, idea projek ini diilhamkan oleh artikel Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa beliau menyandang jawatan Menteri Kewangan pada tahun 2021.
Pameran ini dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Zafrul, pada jam 12 tengah hari pada 2 Jun lalu.
ARTCONOMICS mempamerkan sebanyak 43 buah karya terbaik dari ‘Maestro Seni Tiruan’, Ali Nurazmal Yusoff, yang merangkumi hasil karyanya dari tahun 1990-an hingga kini. Ali Nurazmal terkenal kerana meniru gaya realisme Baroque, terutamanya teknik chiaroscuro yang intens yang digunakan oleh artis zaman pertengahan, Caravaggio.
Teknik ini menggabungkan elemen masa lalu dengan elemen kontemporari seperti gambaran Manchester United dan telefon bimbit moden.
Selain pameran karya seni, acara ini juga menyaksikan forum bertemakan ‘Relevansi antara Seni & Ekonomi’. Forum ini bertujuan untuk membuka ruang perbincangan akademik dan intelektual mengenai bagaimana seni dan ekonomi saling berkaitan dan mempengaruhi satu sama lain dalam konteks masyarakat moden.
Ini diharap dapat memberikan perspektif baharu dan mendalam kepada para pelajar serta pengunjung mengenai interaksi kompleks antara kedua-dua bidang ini.
Ali Nurazmal berkata, seni lukisan ini sebenarnya satu industri yang cukup besar di luar negara dengan pasaran ekonomi yang begitu meluas.
Selain itu, forum bertemakan ‘Relevansi antara Seni & Ekonomi’ diadakan bagi membuka ruang diskusi akademik dan intelektual.
OBJEKTIF PAMERAN LUKISAN
– Memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai keterhubungan antara seni dan ekonomi.
– Memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam industri seni.
– Tingkatkan kesedaran pelajar mengenai peranan ekspresi artistik dalam fabrik dinamik ekonomi.
– Berfungsi sebagai titik rujukan untuk memahami perkembangan serta fungsi seni dan budaya di Malaysia.
– Untuk memperkasa keupayaan pemikiran analitik dan kritikal para belia sebagai pemimpin masa depan.
SASARAN KHALAYAK
1. Pelajar IPT/ IPTS
2. Artis Tempatan dan Antarabangsa
3. Agensi Seni yang berkaitan
4. Orang Awam