in , ,

Pak Nil Bakal Lancar Single APO Bulan Depan

Selepas 12 tahun tidak mengeluarkan lagu baru, Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil bakal melancarkan single berjudul Apo pada 17 Julai depan

Single yang berkisarkan buli siber itu ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay. Manakala liriknya pula cetusan idea Pak Nil sendiri. Ia diterbitkan atas inisiatif sendiri menerusi paksi tanggungjawab sosial Yayasan Pesona (milik Pak Nik) bersama Scifi Record dan Sony Music.

Istimewanya lagu yang sepatutnya dilancarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ini turut memuatkan lirik nama akaun Twitter Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di bawah nama Che Minah Sayang yang pernah digunakan Baginda sebelum ini.

Aznil

Malah keizinan kepada perkara itu turut diminta Pak Nil sendiri kepada Raja Permaisuri Agong pada 4 Jun lalu.

“Saya ada bermesej dengan Raja Permaisuri Agong di Instagram dan ada maklumkan hal meletakkan nama akaun Twitter Baginda dulu dalam lirik lagu ini. Saya mahu minta perkenan Raja Permaisuri Agong.

“Selepas mendapat balasan nombor untuk dihubungi, saya menelefon Raja Permaisuri Agong. Malah ia turut dilakukan dengan cara protokol menulis surat dan memohon perkenan dalam Istana Negara. Alhamdulillah Raja Permaisuri Agong sendiri secara peribadi mengizinkannya.

“Saya sendiri punyalah gementar sampai menggigil gigil sebab nak bercakap dengan Baginda dalam telefon. Bayangkan boleh kejap tersasul bahasakan diri sebagai patik… kejap saya,”

– Pak Nil

Tambah pemenang 10 kali trofi kategori Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH itu, dia juga bercita cita mahu mendapatkan rakaman suara Baginda di dalam lagu berkenaan

“Kalau dapat perkenan guna rakaman suara Raja Permaisuri Agong untuk diselit dalam lagu ini, lagilah saya akan rasa beruntung. Namun saya tahu hal seperti ini bukan mudah kerana membabitkan banyak protokol.

“Malah andai dapat Raja Permaisuri Agong mencemar duli hadir melancarkan lagu ini pada bulan depan bertambah istimewalah jadinya. Kalau sebelum ini, dapat bercakap terus dengan Baginda menerusi telefon bimbit pun sudah rasa kaki tak cecah tanah. Bayangkan kalau Raja Permaisuri Agong hadir di hari pelancaran, rasa seperti lutut tak cecah tanahlah kiranya,” katanya.

– Pak Nil
Aznil

Paknil yang pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (Kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat) berkata single itu dihasilkan bukan untuk berentap dengan sesiapa apatah lagi dipertandingkan dalam pertandingan

“Single ini tak saya anggap sebagai comeback dalam dunia nyanyian. Saya bukan penyanyi serius. Saya penyanyi yang ‘fun’ dan santai. Lagu ini lahir lebih kepada tanggungjawab. Tambahan pula hal buli siber ini terus bermaharajela hingga kini apabila dunia media sosial tiada kawalan.

“Warganet dan juga wira papan kekunci bebas melontarkan kata kata nista dan kecaman. Begitu juga hal seperti ejekan tubuh, rasis, mempersenda agama, politik dan macam macam lagi.

“InsyaAllah saya juga berharap lagu ini dapat membuka mata mana mana agensi berkaitan atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat isu buli siber,” katanya yang mengambil masa lapan jam untuk menyiapkan lirik lagu Apo

– Pak Nil

Sepanjang lebih 32 tahun berkongsi bakat, Pak Nil pernah muncul dengan dua album bersama Pony Canyon dan KRU Music.

Beliau juga pernah menulis lirik untuk penyanyi seperti A to Z, Amy Mastura, Min Malik dan Kool.

Pada majlis sama pradengar lagu Apo diadakan Pak Nil turut mengundang duo pereka fesyen Razman Razmi yang turut hadir memeriahkan acara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Isa Khan Hadiah Risteena Kereta Audi Sempena Ulangtahun Percintaan Pertama

Huawei Lancar Huawei P40 Pro+ dengan Harga RM4999 di Malaysia