PELAWAKÂ senior Pak Lah Cecupak atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin, 53 meninggal dunia akibat kanser usus pada pagi, Sabtu. Pak Lah disahkan menghidap barah usus tahap empat sejak Julai lalu. Isteri Allahyarham, Rohamiza Ali, memberitahu, sebelum menghembuskan nafas terakhir, suami sempat berbual biarpun pertuturannya tidak jelas.
“Ketika itu, saya hanya mengiyakan dan mengangguk. Arwah dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu.
“Sejak sakit, arwah kerap berulang alik ke hospital.
“Doktor mengesahkan barah usus dihidap suami sudah merebak ke hati. Saya dan anak reda dengan dengan takdir ini,” katanya kepada BH Online.
Rohamiza berkata, jenazah suami akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, selepas Asar.
Berita sedih itu dikongsikan oleh pelakon dan pengarah Adam Hamid di laman Instagram miliknya.
“Dukacita dikhabarkan pada hari ini 5 Rabiul Akhir 1442H telah kembalinya ke Rahmatullah seniman Noor Affendi Nurdin, Pak Lah Cecupak kerana kanser usus,” katanya.
Allahyarham yang mengidap penyakit barah usus tahap empat pernah menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada September lalu.
Perkhabaran duka itu turut dikongsikan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menerusi satu hantaran di Facebook yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Berita Sedih Itu Turut Dikongsikan Oleh IRAMA di Facebook.
“Salam takziah dari Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) buat keluarga pelawak Noor Affendi Nurdin atau Pak Lah Cecupak di atas kembalinya ke rahmatullah pagi ini.
“Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh mereka. Al-Fatihah,” tulisnya.
Kumpulan Cecupak merupakan pelawak lagenda yang dianggotai oleh Pak Lah, Pak Jaih, Ucop, Ropie dan Pian.
Selain menyanyi dan berlawak, Pak Lah juga aktif mencipta lagu serta menulis lirik untuk lagu tradisional dan lagu rakyat dalam loghat Perak.
Antara lagu popularnya ialah Joget Toleh Menoleh nyanyian kumpulan Senario.
Allahyarham meninggalkan seorang balu yang dikenali sebagai Miza Ali dan tiga orang cahaya mata.
Sepanjang perkahwinan Allahyarham dan Rohamiza, mereka dikurniakan tiga anak.
BH Online pernah melaporkan tahap kesihatan arwah Pak Lah yang perlu menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 12 kali.
Sepanjang rawatan, pergerakan arwah agak terbatas dan memerlukan bantuan kerusi roda selain sukar membuang air besar.
Pak Lah pernah bekerja dengan organisasi dikenali sebagai Kampung Karyawan Koloni Amanjaya, People Of Remarkable Talents (PORT) di Ipoh, Perak, sebagai pencipta lagu.
Selain Pak Lah, dalam waktu terdekat ini dunia hiburan dikejutkan dengan kematian penggiat seni secara berturut-turut iaitu Ruslan Mamat pada malam Khamis lalu semanatara A. Ali pada Sabtu.