in

Orkestra RTM dalam Malaysia Book of Records

SAMBUTAN JUBLI EMAS : ORKESTRA RTM TERSENARAI DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS

Sambutan Jubli Emas pada usia 50 tahun penubuhan Orkestra RTM tahun ini telah melayakkan mereka tersenarai sebagai kumpulan orkestra tempatan paling lama ditubuhkan di negara ini dalam Malaysia Book of Records.

Majlis yang bakal berlangsung pada 11 Januari 2011 (Selasa), jam 8.00 malam bertempat di Sunway Resort Hotel ini menyaksikan anugerah diterima oleh YBhg. Datuk Ibrahim Yahaya (Ketua Pengarah Penyiaran).

Ditubuhkan pada 1961 dikenali dengan nama Orkes Radio Malaysia oleh Tan Sri Ahmad Merican bersama-sama pemimpin awalnya Alfonso Soliano, kumpulan muzik yang dianggotai 13 pemuzik ini berperanan penting dalam mencorakkan muzik awal di Malaysia daripada lagu Melayu asli, langgam, patriotik hingga kepada jazz.

Kumpulan muzik ini cukup gah menghiburkan peminat-peminatnya di serata tanah Melayu dengan barisan pemuzik handalan yang masih bertahan sehingga ke hari ini antaranya Dato’ Ahmad Nawab dan Dato’ Johari Salleh.

Setelah penggabungan Radio Malaysia dan TV Malaysia pada 1961, nama orkes ini ditukarkan kepada Orkestra RTM dan sejak dari itu bermulalah lembaran baru kehebatan kumpulan pemuzik bertaraf nasional di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia selain memainkan peranan yang cukup penting dalam memartabatkan lagu-lagun karya tempatan pelbagai genre daripada patriotik sehinggalah ke irama jazz.

Dari 1961 hingga sekarang, Orkestra RTM sudah diterajui lima pemimpin iaitu Alfonso Soliano, Johari Salleh, Gus Steyn, Ahmad Dassilah dan Datuk Mokhzani Ismail.

Kini, Orkestra RTM dibarisi pemuzik yang mempunyai pendidikan khas di Institut Pengajian Tinggi (IPT) berbanding sebelum 2000. Ia dilihat sebagai satu peralihan yang sihat yang mengambil alih teraju muzik yang sudah tiada.

Orkestra RTM sudah layak digelar orkestra bertaraf antarabangsa tahun lalu telah diundang membuat persembahan di pentas dunia sempena Java International Jazz Festival di Jakarta selain penerbitan 16 cakera padat pelbagai genre lain termasuk Jazz Tribute to Malaysian Songs yang telah diedarkan ke seluruh dunia dan Muzsic on Demand yang diterbitkan dengan kerjasama MAS.

Demi memartabatkan semula serta mengenang jasa tokoh dan artis veteran di perdana muzik negara, Orkestra RTM mengorak langkah menerbitkan album eksklusif Orkestra RTM bersama Tan Sri S.M.Salim dan Orkestra RTM bersama Ismail Haron yang dilancarkan pada 25 Mac 2010 yang lalu.

Orkestra RTM juga mengadakan Pertandingan Cipta Lagu Ambank/RTM dan juga ABU Song Festival yang dilihat menyumbang kepada menyemarakkan lagi sambutan 50 tahun penubuhannya.

Terbaharu tahun 2011 ini menyaksikan Orkestra RTM telah merakamkan sebuah album khas berjuduk Gemilang 50 yang mengandungi 16 buah lagu yang dimainkan dengan iringan para pemuzik kumpulan tersebut. Album ini menampilkan lagu-lagu lama yang dirakamkan semula dalam versi baru termasuklah dua buah lagu baru yang berjudul Simfoni Gemilang dan Tribute.

Untuk mendapatkan maklumat dan info terkini Orkestra RTM boleh melayari laman sesawang www.orkestrartm.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Di Sebalik Anugerah Juara Lagu 25 di TV3 Malam Ini

Mas Muharni & Nazim Othman dalam Fantasi Cinta Teruna