Orkestra Filharmonik Malaysia Meraikan Musim Konsert Istimewa Ke-20!
Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dengan bangganya melangkah ke musim konsert yang baru, ‘20th Anniversary Special’, dengan menjanjikan senarai konsert yang menarik, karya agung dan variasi genre muzik oleh artis-artis terkemuka.
Musim konsert ini akan bermula dari Ogos hingga Disember tahun ini, dan bakal menyaksikan MPO kekal dengan matlamat asal untuk memberi hanya yang terbaik dalam muzik klasikal dan membawa seni ke peringkat yang lebih tinggi selepas 20 tahun penubuhannya.
Musim baru ini akan dimulai dengan persembahan MPO pada tarikh yang sama dengan persembahan sulungnya pada 17 Ogos 1998 melalui sebuah Konsert Gala pada 17 Ogos 2018 dan 18 Ogos 2018. Konduktor tersohor Jac van Steen akan mengemudikan persembahan melalui program muzik klasikal yang menarik. Pemain piano Malaysia berbakat besar, Tengku Irfan (yang juga lahir pada tahun 1998), akan mempersonakan hadirin melalui karya ciptaan Tchaikovsky, Piano Concerto No.1, menjadikan antara detik menarik keraian musim konsert kali ini.
Musim ini bakal menyaksikan persembahan sulung pemain violin Soyoung Yoon, pemain cello Istvan Vardi dan konduktor Roberto Gonzalez-Monjas.
Pemain harp Leonard Jacome, pemain piano Stephen Hough dan pemain violin Ray Chen dan James Ehnes akan kembali ke pentas DFP untuk mengagumkan peminat muzik klasikal.
MPO akan mempersembahkan konsert-konsert yang membawakan tema menarik; The Music of Billy Joel akan menyajikan lagu-lagu malar segar dari artis yang digelar ‘The Piano Man’ ihsan vokal protégé beliau, Michael Cavanaugh, pada November ini. Kembar kesayangan Malaysia, Upin & Ipin, akan muncul bersama MPO dalam konsert bertemakan keluarga pada Oktober ini. Pada bulan yang sama, MPO akan menghidangkan konsert bertemakan National Geographic: Symphony For Our World. Gabungan sains dan seni ini pasti akan menggamit pengalaman konsert yang unik dan indah. Tidak ketinggalan, konsert yang menyajikan skor muzik filem hasil ciptaan legenda Hollywood, Hans Zimmer, pada September ini yang akan mempersonakan khalayak.
Bulan September juga akan menyaksikan MPO memberi penghormatan untuk lagu-lagu klasik tempatan dan ikon seni dalam sebuah konsert bertemakan Semalam Di Malaya pada September ini. Menghidangkan lagu-lagu seperti Sayang Di Sayang, Jelingan Manja, Ibu, Jauh Jauh dan lagu-lagu P Ramlee, konsert ini bakal menampilkan penyanyi-penyanyi undangan khas.
DFP menyediakan platform untuk artis-artis muda tempatan untuk mempamerkan bakat mereka; Tomok dan Black bakal bertarung vokal dalam sebuah konsert pada November ini, membawa khalayak baru peminat genre rock dan balada ke DFP.
Kumpulan popular dari Amerika, Pink Martini, akan kembali ke DFP selepas kejayaan konsert sulung mereka pada tahun 2010. Dikenali sebagai ‘the little orchestra’, kumpulan ini menyajikan pelbagai genre muzik termasuk klasikal, pop, jazz dan latin. Saksikan mereka pada Oktober ini.
MPYO, yang baru sahaja meraikan ulangtahun yang ke-10, akan mempersembahkan sebuah konsert pada Disember ini, selain kolaborasi bersama MPO, seraya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah orkestra remaja yang berpotensi besar.
Pelancaran pakej konsert dan penjualan tiket ‘single’ ialah pada 16 Julai 2018. Untuk menjadi pelanggan tetap MPO, anda perlu membeli 3 tiket dari 4 siri konsert (Classical, Specials, Pops dan Family Fun Day) dan akan mendapat potongan sebanyak 20%.
Untuk sebarang pertanyaan, sila layari www.mpo.com.my di mana anda boleh memuat turun brosur terbaru kami, atau hubungi Box Office di 03-23317007 atau [email protected].
Perayaan muzik untuk musim kali ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan Penaung kami, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Haji Mohd Ali. ‘Penyumbang Utama’ MPO ialah PETRONAS.