Lebih 300,000 pengunjung telah memeriahkan Karnival Jom Heboh (KJH) yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 hingga 29 September 2024. Walaupun cuaca di utara agak tidak menentu, semangat warga utara tetap membara untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan. Tiga hari penuh keseronokan ini nyata mendapat sambutan luar biasa daripada semua peringkat umur, menjadikan KJH Pulau Pinang satu acara yang tidak akan dilupakan.
Pelbagai Aktiviti Menarik Selama Tiga Hari Berturut-Turut
Karnival Jom Heboh kali ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik yang berjaya menarik perhatian pengunjung sehingga larut malam. Dari aktiviti Studio Tonton Drama Sangat sehinggalah ke aneka hidangan makanan tempatan, suasana di Stadium Batu Kawan penuh dengan keceriaan dan keseronokan.
Selama tiga hari itu, Karnival Jom Heboh turut menerima kunjungan daripada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Binti Mohd Nor dan Yang Berhormat Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam. Mereka juga diiringi oleh Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, serta beberapa wakil dari Media Prima Omnia dan NSTP. Kehadiran mereka menambah lagi seri karnival, menjadikan suasana lebih meriah.
Keseronokan Bertemu Selebriti Kesayangan
Siri jelajah Karnival Jom Heboh pastinya tidak lengkap tanpa kehadiran selebriti-selebriti popular yang menghiasi slot drama dan program televisyen di TV3, TV9, dan Tonton. Di Studio Tonton Drama Sangat, pengunjung berpeluang beramah mesra dengan artis seperti Riena Diana, Keith Foo, Aniq Durar, Raden Zaharatul, Apich Lo, Shiha Zikir, Puteri Khareeza, Nabila Razali, Chef Naem, Anas Ridzuan, Muaz Mohamed, Syamira Nazir, Anim Ezati, dan Fedtri Yahya.
Lebih menarik lagi, kali ini Karnival Jom Heboh dimeriahkan dengan penampilan calon-calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 di reruai ABPBH. Antara selebriti yang hadir termasuklah Didie Alias, The Gadys, Ara Johari, Shah Radhy, Putera Muhammad, Khai Bahar, Ernie Zakri, dan Bella Astillah. Ini memberi peluang kepada para peminat untuk bertemu dengan selebriti kesayangan mereka sebelum malam kemuncak ABPBH 36 yang akan berlangsung pada 11 Oktober 2024 hanya di TV3.
Konsert Jom Heboh: Persembahan Hebat Sepanjang Dua Malam
Acara kemuncak Karnival Jom Heboh semestinya Konsert Jom Heboh yang diadakan selama dua malam berturut-turut. Ribuan pengunjung berhimpun untuk menyaksikan persembahan hebat daripada barisan artis terkenal tanah air. Konsert ini dihoskan oleh Muaz Mohamed dan Aisha Mazlin pada malam pertama (Sabtu, 28 September), serta Amirulhakim Lokman dan Zati Nizam pada malam kedua (Ahad, 29 September).
Antara artis yang membuat persembahan termasuklah Sonaone, Nabila Razali, Puteri Khareeza, Ismail Izzani, The Dukes, Hael Husaini, Ernie Zakri, Shiha Zikir, Bella Astillah, Hyperact Band, dan Nadia Rosli. Penonton begitu teruja menyaksikan persembahan bertenaga dari artis-artis kesayangan mereka, menjadikan kedua-dua malam konsert ini penuh dengan kenangan manis yang pastinya akan diingati.
Pertandingan Yaribba! Boria dan Tonton e-Sports War of Clans
Selain daripada konsert dan bertemu selebriti, terdapat juga pertandingan Yaribba! Boria yang dianjurkan untuk kali kedua di Pulau Pinang, dengan penyertaan seramai 70 orang. Kumpulan Boria Kombinasi Kampung Melayu berjaya merangkul gelaran juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, manakala naib juara disandang oleh pasukan Boria Gema Permata yang memenangi RM1,500. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Boria Madnorian dengan hadiah RM500.
Pertandingan e-sukan Tonton War Of Clans juga menjadi tumpuan ramai dengan penyertaan dalam dua kategori iaitu Co-op dan Solo. Kategori Co-op dimenangi oleh kumpulan KINGS TAKTIKAL TEKA TEKI, manakala naib juara dimenangi oleh pasukan DIGXQE YENSO. Tempat ketiga dan keempat pula menjadi milik pasukan DIGXQE ELITE dan AE ALPHA. Untuk kategori Solo, pasukan MQN MARGO MPC merangkul kejuaraan, diikuti oleh GGM LI sebagai naib juara. Tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh pasukan DIGxQE HAZ9M dan GGM MUGIWARA FC.
Solidariti Untuk Palestin
Dalam keseronokan berhibur, Karnival Jom Heboh juga tidak lupa untuk memberikan sokongan kepada rakyat Palestin. TV3 dan Media Prima mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin. Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331. Kami di TV3 sentiasa prihatin dengan krisis kemanusiaan yang berlaku dan akan terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan demi rakyat Palestin.
Melalui pelbagai program dan inisiatif, TV3 dan Tonton bertekad untuk menyebarkan mesej keamanan dan solidariti, serta menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut serta dalam usaha murni ini. Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban mereka.
Nantikan Lokasi Seterusnya Karnival Jom Heboh!
Karnival Jom Heboh 2024 akan terus menjelajah ke seluruh negeri, membawa keceriaan dan hiburan kepada seluruh rakyat Malaysia. Warga Johor, bersiaplah kerana KJH bakal tiba di selatan tidak lama lagi! Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, layari laman sesawang www.jomheboh.com.my atau ikuti laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @jomhebohofficial.
Sebarkan kegembiraan bersama keluarga dan rakan-rakan dengan menggunakan tanda pagar #TV3SentiasaBersamamu #KarnivalJomHeboh #InspirasiGenerasi. Jumpa anda di Karnival Jom Heboh seterusnya, dan nikmati pelbagai keseronokan yang menanti!