Raikanlah Hari Malaysia dengan menyaksikan tayangan filem OlaBola dengan skor muzik iringan secara langsung oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO)!
Persembahan istimewa ini dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat, 15 September 2017 dan Sabtu, 16 September 2017 jam 8.30 malam di Dewan Fiharmonik PETRONAS (DFP).
Ini merupakan kali pertama MPO mengiringi tayangan filem tempatan secara langsung; sebelum ini, MPO pernah mempersembahkan runut bunyi secara langsung mengiringi tayangan filem Hollywood seperti Psycho, Home Alone, Casablanca dan filem Charlie Chaplin seperti Modern Times dan The Gold Rush.
Bertepatan dengan semangat Hari Malaysia, filem ‘blockbuster’ ini mendapat pujian ramai lantaran temanya yang positif berkisarkan perpaduan kebangsaan, semangat patriotisme dan semangat kerja berpasukan. Ditayangkan pada Januari 2016 oleh Astro Shaw, OlaBola ialah sebuah filem arahan Chiu Keng Guan dan diinspirasikan oleh kegemilangan pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980. Filem ini telah berjaya membuat kutipan ‘pecah panggung’ melebihi RM15 juta.
OlaBola telah memenangi banyak anugerah di festival filem dalam dan luar negara. Lagu temanya yang berjudul Arena Cahaya, ciptaan dan nyanyian Zee Avi dan diterbitkan bersama oleh beliau dan Rendra Zawawi, memenangi anugerah Lagu Tema Asal Terbaik di Taipei Golden Horse Film Festival, manakala Onn San, yang mencipta runut bunyi filem ini, memenangi anugerah Skor Muzik Asal Terbaik di Pesta Filem Malaysia ke-28 tahun lepas. Filem ini juga memenangi Anugerah Khas Juri kerana temanya yang menarik.
Konsert MPO ini bakal dipimpin oleh konduktor kelahiran Australia, Jessica Cottis. Skor muzik ini digubah untuk MPO oleh Isaac Chia dan Onn San. Selain dari skor muzik asal, konsert ini akan menyajikan muzik baru untuk beberapa adegan yang tidak diperdengarkan dalam filem ini.
Penyanyi Juwita Suwito akan mempersembahkan lagu Arena Cahaya bersama MPO. Orkestra ini juga bakal mempersembahkan dua lagu dari file mini; We Are Heroes dan We Will Believe Again. Konsert ini juga akan menampilkan kumpulan koir UCSI Chorale dan vokalis Stephanie Van Driesen.
Astro Shaw adalah Rakan Rasmi untuk konsert istimewa ini.
Rasai keajaiban OlaBola bersama MPO pada Hari Malaysia, hanya di DFP!
Maklumat Konsert
‘OlaBola – Movie With Live Music’
Tarikh
Jumaat, 15 September 2017 dan Sabtu, 16 September 2017 jam 8.30 malam
Tempat
Dewan Filharmonik PETRONAS, Menara Berkembar PETRONAS, KLCC
Orkestra / Konduktor / Solois / Koir
Malaysian Philharmonic Orchestra
Jessica Cottis konduktor
Juwita Suwito vokal
Stephanie Van Driesen vokal
UCSI Chorale koir
Harga Tiket
Premium: RM240, A Reserve: RM190, B Reserve: RM160, C Reserve: RM120
Box Office
Selasa hingga Sabtu:10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam pada hari persembahan
Ahad: 12.00 tengahari sehingga waktu persembahan
Tempahan Telefon: 03-23317007
Tempahan Email: [email protected]
Laman Web MPO: www.mpo.com.my
Facebook: fb.mpo.com.my
Instagram: @malaysianphilharmonicorchestra