Memulakan langkah sebagai anak wayang sejak dua tahun lalu, pelakon baharu bernama Oktavia Manrose atau nama sebenarnya Wan Shamira Putri Oktovia Wan Syahman ini semakin mencuri perhatian para peminat tempatan dan pengiat seni tanah air.
Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, bakat wanita berusia 26 tahun yang mesra disapa Via ini tersendiri dan tidak boleh dipandang sebelah mata.
Antara drama dan telemovie yang telah dibintangi figura cun melecun ini adalah Dendam Aurora, Encik Suami Mat Salih Celup, Tercipta Untukku dan Cinta Si Wedding Planner.
Untuk pengetahuan para pembaca, Octavia yang mesra disapa Via ini merupakan anak kedua Raja Dangdut Malaysia, Iwan bersama pelakon popular era 80-an, Allahyarhamah Rosnah Mohd Noor.
Apa tunggu lagi, jom kita berkenalan dengan aktres berbintang Scorpio ini.
Biodata Ringkas Octavia Manrose
Nama Penuh: Wan Syamira Putri Octavia Wan Syahman | Nama Komersil: Octavia Manrose @ Octovia Manrose | Tarikh Lahir: 29 Oktober 1991 | Umur: 26 Tahun (2017) | Zodiak: Scorpio
Asal: Kuala Lumpur | Kerjaya: Pelakon | Status: Janda | Agama: Islam | Bangsa: Melayu
Warganegara: Malaysia
Drama/Telefilem: Encik Suami Mat Salih Celup, Dendam Aurora, Biar Aku Jadi Penunggu, Batasan Kasih, Tercinta Untukku, Tangisan Kubur, Hajah Heathrow Kembali, Cinta Si Wedding Planner, Umairah, Cinta Jannah, Dan Hati Pun Berkata, Balasan Dosa, Hantu Punya Boss dan banyak lagi.
Pernah mendirikan rumah tangga ketika berusia 20 tahun dan bercerai dua tahun kemudian.
Hasil perkahwinan berkenaan, Octavia dan bekas suami dikurnia seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Rayyan Zulkarnain yang kini berusia 5 tahun.
Merupakan kakak kepada pelakon drama bersiri Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin iaitu Aprena Manrose.
Nama Manrose adalah gabungan nama ayah dan arwah ibunya.
Merupakan sepupu kepada Raysha Rizrose, Uqasha dan Nelydia Senrose.
Pernah mengeluarkan sebuah single berjudul Kau Pilih Dia pada 2015.
Mengidam watak romantik dan beremosi bagi menguji kemampuannya dalam bidang seni lakonan.
Sangat meminati lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Beto Kusyairy.
Mempunyai lebih 100,000 pengikut di Instagram miliknya.
Sejak mula berlakon pada 2013, Via tidak menafikan rezeki watak diterimanya lebih terarah sebagai pelakon pembantu.
Katanya, selama ini bukan tidak pernah mendapat tawaran untuk watak utama tetapi dia menolak kerana belum bersedia menerimanya.
Bagi Via, ilmu lakonan dimiliki masih sedikit dan banyak kelemahan perlu diperbaiki.
“Lagi pun, saya selesa dengan perjalanan karier seni saya kini yang tidak naik secara mendadak kerana saya mahu kekal lama.
“Apatah lagi jauh di lubuk hati saya menyimpan impian untuk menjadi pelakon sehebat Nabila Huda satu hari nanti,” katanya.
Via yang kini masih terikat dengan penggambaran drama Dendam Aurora di Astro, teruja mendapat peluang berlakon bersama Nabila.
Drama Dendam Aurora sebanyak 100 episod turut memberi peluang padanya melakonkan watak serius sebagai gadis psiko bernama Hana.
Anak kedua daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup penyanyi dangdut, Iwan Syahman bersama pelakon dan penerbit drama, Allahyarham Rosnah Mohd Noor ini mengagumi bakat Nabila. Malah tanpa berselindung Via mengakui Nabila adalah idolanya.
“Melihat lakonan Nabila yang begitu berkesan dalam apa saja watak sama ada baik, wanita miskin mahupun antagonis, dia memang sangat berbakat.
“Apa yang hebatnya, lakonan Nabila meninggalkan kesan kepada penonton. Sebut saja apa drama mahu pun filem dilakonkan, setiap karakter lakonan Nabila pasti berkesan dan mendapat pujian,” katanya.
Berkongsi pengalaman berlakon dalam Dendam Aurora bersama Nabila,Via melihat Nabila seorang yang sangat ceria dan mesra.
Katanya, walaupun sudah memberi lakonan terbaik dan dia sebagai pelakon baru masih lagi terkial-kial, Nabila tidak pernah merungut.
“Dia sentiasa kelihatan ceria, gembira dan mesra dengan semua kru produksi di lokasi. Bagi saya, aura positif Nabila di lokasi penggambaran sangat besar,” katanya.
Turut mempersiapkan diri untuk menceburi bidang nyanyian, Via berkata dia sentiasa bersikap terbuka pada peluang diterima.
Selain berlakon, dia minat menyanyi dan bakat itu diwarisi daripada bapanya.
“Saya juga pernah terbabit menghasilkan single Kau Pilih Dia dengan Warner Music.
“Apapun, itu pengalaman awal beberapa tahun lalu sebagai percubaan saya. Kini, saya perlu makin bersedia mengatur perancangan.
“Jika tiada aral, saya akan masuk ke studio untuk merakam single baru yang bergenre pop balada,” katanya.
Apa pun kata Via, masih terlalu awal untuk dicerita secara terperinci mengenai pembikinan single itu kerana semuanya masih dalam proses perbincangan dan perancangan.
“Rasanya kurang bagus untuk saya bercerita lanjut. Apapun, saya mengharapkan perancangan untuk rakaman single ini berjalan lancar tidak lama lagi,” katanya.
Memiliki vokal serak basah, Via mengakui minatnya lebih kepada irama R&B tetapi sebagai permulaan, genre muzik pop balada adalah pilihan tepat buatnya.
Sumber: Harian Metro