Baru-baru ini, Budiey sempat meninjau sesi pembelajaran di Kelas Lakonan dan Pengacaraan yang dianjurkan oleh Fauziah Ahmad Daud atau selesa dipanggil Kak Ogy. Siapa yang tak kenal dengan Kak Ogy, seorang pelakon berkaliber dan pengacara yang cukup berpengalaman ini. Dengarnya, Kak Ogy sekarang ini, aktif dan sibuk menjadi mentor dan mengajar di Ogy Centrestage & Academy selain menjadi pengacara program HURU HARA untuk saluran HyppTV.
Terkenal dengan kritikannya yang pedas dan pendirian yang cukup pedas, Oleh kerana pengalaman yang luas dalam dunia seni, Kak Ogy pernah dijemput untuk menjadi juri serta tenaga pengajar di beberapa program realiti TV.
Terbaru, Kak Ogy sekarang ini sibuk untuk mengadakan Street Theater atau Teater Jalanan di Courtyard Concourse, The Curve, Mutiara Damansara. Teater ini berjudul SENI… ITU RUPANYA. Acara ini akan berlangsung selama dua hari berturut-turut dan mengumpulkan pencinta seni teater di satu lokasi.
Budiey difahamkan, Kak Ogy telah pun buat sesi ujibakat mencari pelakon baru-baru ini dan kita tengoklah nanti pelancaran acara ini nanti ya.
Teater ini memerlukan pelakonnya berlakon, menari dan menyanyi dalam masa yang sama. Macam-macam cerita tentang seni dan perkara berbangkit yang menyentuh dunia anak seni akan ditonjolkan oleh teater ini dan akan menyentuh isu semasa.
Untuk pengetahuan semua, sebelum ini Kak Ogy pernah terlibat menjadi pelakon Street Theater pada tahun 1990 di bawah arahan pengarah terkenal Allahyarham Datuk Syed Alwi di hadapan Pertama Kompleks. Kak Ogy masih ingat lagi keseronokan terlibat dengan teater ini.
Jadi, Kak Ogy mahu mengangkat semula naskah teater ini dan seterusnya menjadi perintis semula teater sebegini. Ianya satu latihan yang memberikan pengalaman baru kepada pelakon kerana mereka terpaksa menghadapi orang ramai yang lalu lalang di situ.
Bayangkan pelakon terpaksa berhadapan dengan orang ramai yang macam-macam karakter dengan begitu dekat dan pelakon perlu ‘block’ dan fokus minda berkali ganda berbanding berlakon dalam teater biasa.
Street Theater sangat berbeza dengan teater yang biasa kita layan di Istana Budaya dan mana-mana pentas. Kak Ogy ada bercerita tentang pengalamannya berlakon dalam teater ini.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena dengan acara ini. Selain Street Theater, acara ini juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti lain di 10 booth yang menjual barangan dan produk dari selebriti terkenal. Ada pertandingan solekan artis, ada Pencarian JEJAKA IDAMAN MALAYSIA, ada juga casting call dan macam-macam lagi.
Budiey rasa sangat teruja untuk menantikan acara ini. Nantikan kemaskini lanjut tentang Street Theater ini. Sama-sama nanti kita meriahkan ya!
Seniwati Fauziah Ahmad Daud, melalui Ogy’s Centerstage & Academy akan menganjurkan ‘Street Theatre Carnival’ atau Karnival Teater Jalanan. Karnival ini akan diadakan pada 3 & 4 Mac 2018 di Courtyard Fountain, Street Market, The Curve, Mutiara Damansara.
Konsep Teater Jalanan adalah suatu konsep seni persembahan teater yang telah lama ada dan banyak diadakan di Eropah dan Amerika. Namun di Malaysia, ianya masih asing lagi walaupun seni pemuzik jalanan atau busking semakin mendapat tempat di hati orang ramai.
Penganjuran Teater Jalanan ini adalah penganjuran kali kedua seumpamanya di Malaysia. Kali pertama ianya diadakan adalah pada tahun 1990 dibawah arahan Allahyarham Syed Alwi dihadapan Kompleks SOGO dimana Fauziah Ahmad Daud merupakan salah seorang pelakonnya.
Kali ini, penganjuran Teater Jalanan ini dibuat sebagai menyambung semula apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Syed Alwi. Ianya juga merupakan pentas ujian bagi pelajar-pelajar Bengkel Seni Lakonan Ogy’s Centerstage & Academy yang kini telah masuk kelompok ke-3.
“Saya melihat Teater Jalanan sebagai platform terbaik untuk menguji bakat lakonan para pelajar saya. Cabaran mereka bukan hanya menghafal dan memahami skrip tetapi mereka perlu memikirkan bagaimana mereka mampu untuk menarik perhatian dan minat orang ramai yang lalu lalang di sekeliling mereka dengan lakonan yang mereka persembahkan.”
“Saya menyambung apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Syed Alwi dan saya harap ini akan menjadi legasi yang akan saya tinggalkan untuk industri seni tanahair suatu hari nanti” kata Fauziah Ahmad Daud.
Selain daripada Teater Jalanan, Karnival 2 hari ini turut menganjurkan beberapa acara lain seperti Ujibakat sebagai Pengacara dan Pelakon, Pertandingan Jurumekap Meletop dan Pencarian Lelaki Idaman Malaysia.
Mereka yang berminat untuk menyertai acara-acara yang diadakan dijemput hadir pada hari Karnival ini.
Untuk maklumat berkenaan ‘Street Theater Carnival’ sila hubungi talian 011-2358 6780 atau 010-445 4645