in

Obor Kuala Lumpur 2017 tiba di AirAsia RedQ

AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, dengan bangganya menerima kehadiran obor Kuala Lumpur 2017 di ibu pejabatnya, RedQ hari ini bersempena dengan Larian Obor KL2017.

AirAsia merupakan Syarikat Penerbangan Rasmi dan Penaja Emas bagi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 di Kuala Lumpur, yang juga dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017.

Obor Kuala Lumpur 2017 tiba di AirAsia RedQ

Larian Obor tersebut telah diadakan di setiap negeri di Malaysia, bermula dari Johor pada 14 Mei 2017 dan seterusnya ke lokasi-lokasi ikonik di semua negeri dan wilayah sebelum tiba di Selangor bermula dari 31 Julai hingga 5 Ogos 2017.

Hari ini, Larian Obor bagi sesi di Sepang bermula dari Balai Berlepas Utama KLIA dan berakhir di AirAsia RedQ dengan jarak sejauh 5.9km. Larian Obor KL2017 ini merupakan kesinambungan daripada Larian Baton Rising Together yang telah berlangsung di 10 negara Asean dan Timor Leste bersempena dengan Kuala Lumpur 2017.

Lebih 800 pelari mengambil bahagian dalam larian obor ini, di mana ia telah disaksikan oleh YB Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia; Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia ; Kathleen Tan, Presiden AirAsia China dan Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad. Ketibaan obor tersebut telah disambut meriah bersama- sama AirAsia Allstars di hadapan RedQ.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, “AirAsia amat teruja untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan yang akan datang dan kami amat berbesar hati menerima kehadiran obor ini di RedQ. Sukan merupakan sebahagian daripada komitmen kami dan sebagai syarikat penerbangan Asean, adalah amat tepat bagi kami untuk mengambil bahagian dalam acara sukan terbesar di rantau ini – sebuah acara yang sarat dengan mesej perpaduan dan kerjasama – dan kami amat berbangga menerima obor tersebut di ibu pejabat kami.”

Sukan SEA ke-29 akan diadakan di Kuala Lumpur pada 19-30 Ogos 2017, dan akan mempamerkan sejumlah 405 acara bagi 38 sukan dengan kedatangan atlet-atlet dari 10 buah negara Asean dan Timor Leste.

Sukan Para Asean ke-9 pula akan berlangsung dari 17-23 September 2017, akan menonjolkan para atlet yang kurang upaya dari Asean bersaing untuk merebut gelaran juara dalam 16 acara sukan para.

Ini merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan kali ketiga menjadi tuan rumah Sukan Para Asean.

Kuala Lumpur 2017 merupakan acara pertama yang akan diadakan sejak pembentukan Komuniti Asean 2015, seperti yang digambarkan melalui tema “Rising Together”.

AirAsia amat berminat dalam bidang sukan. Kerjasama bersama Kuala Lumpur 2017 ini merupakan sebahagian daripada kempen sukan #DARETODREAM AirAsia yang bertujuan untuk mengembangkan bidang sukan dan memupuk bakat muda dari semua peringkat di Malaysia dan juga di seluruh rantau Asean.

Barisan atlet AirAsia di bawah kempen #DARETODREAM termasuklah jaguh trek berbasikal negara seperti Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, serta penerjun negara, Leong Mun Yee. AirAsia turut bekerjasama dengan atlet bina badan Faiz Ariffin dan pemandu go-kart, Muizzuddin Musyaffa. Selain itu, AirAsia juga kerap mengadakan pusat latihan bagi atlet muda yang bersemangat tinggi, seperti Klinik Kejurulatihan Tahunan bersama perenang Olimpik Ben Proud dan bersama Kelab Bolasepak Inggeris, QPR.

Baru-baru ini, AiraAsia telah menjadi penaja utama bagi liga remaja terbaru iaitu Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM, dan juga penaja Liga Ragbi Malaysia AirAsia dan Liga Junior KL AirAsia.

Ikuti perjalanan sukan AirAsia melalui hashtag #DARETODREAM atau ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia) untuk maklumat dan aktiviti terkini.

Obor Kuala Lumpur 2017 tiba di AirAsia RedQ

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Cungkil Bakat Muda Melalui Sesi Uji Bakat PJ Rangers

TV1 Siar SALAM BAITULLAH 2017 Perkembangan Jemaah di Tanah Suci