KEENAKAN SANTAPAN DI RAJA DALAM RESIPI ISTANA
Resipi Istana, sebuah program televisyen terbitan Primeworks Studios, yang julung-julung kali mengetengahkan kerabat di raja serta mereka yang rapat dengan pihak istana untuk berkongsi resipi tradisisional turun temurun beserta keunikan masakan istana dan gaya hidup golongan di raja.
Program 13 episod ini dihoskan bakat baru, Nurul Khusna Uma, finalis program realiti Gadis Melayu musim pertama. Istimewanya, dalam kesibukan kerabat di raja memenuhi pelbagai kegiatan harian, program Resipi Istana berjaya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada beberapa kerabat di raja seperti Sultanah Kedah, DYMM Sultanah Hajjah Haminah Haji Hamidun, YAM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, adinda Sultan Johor, YAM Tunku Tun Maimunah Sultan Ismail dan anakanda Sultan Kelantan, YAM Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra.
Selain menyaksikan kepakaran kerabat di raja memasak, Resipi Istana turut memaparkan keindahan istana seperti Istana Anak Bukit, Alor Star, Kedah, Istana Raja Di Hilir dan Istana Riswin, Ipoh, Perak, Istana Kenangan Indah, Kangar, Perlis, dan Istana Bukit Gedung, Johor.
Sepanjang penggambaran yang dilakukan sejak Jun tahun ini, krew produksi mengutip pelbagai kenangan manis dan pengalaman yang cukup berharga. Perasaan risau dan bangga saling bercampur-baur. Namun, segalanya terhakis. Anggapan masyarakat bahawa golongan istana sombong dan sukar didekati, tidak benar sama sekali.
Bak pepatah, tidak kenal, maka tidak cinta, biar pun terikat dengan protokol istana, namun sikap prihatin dan keterbukaan mereka membuatkan krew produksi cukup selesa. Antara pengalaman dan momen paling menarik, ketika krew produksi membuat rakaman bersama YAM Raja Puan Mahkota Perak, Raja Nazhatul Shima yang lebih mesra dipanggil Tengku Dotti di Istana Riswin, Ipoh, Perak. Keramahan dan sikapnya yang sporting melayani kami sepanjang dua hari rakaman, tidak dapat dilupakan. Sambil memasak masakan kegemaran keluarga seperti Daging Gulung, Gulai Tempoyak Udang dan Mi Kuah, loghat Perak pekatnya, membuatkan krew tidak kering gusi. Namun, apa yang pasti, Tengku Dotti bukan sekadar puteri raja beliau juga pakar memasak.
Begitu juga ketika krew produksi membuat rakaman di Kota Bharu, Kelantan bersama anakanda Sultan Kelantan, YAM Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra. Berperwatakan manja dan lemah-lembut, kejelitaan Tengku Amalin diwarisi daripada bondanya, DYMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid. Bergelar majistret termuda di negeri Kelantan, ketokohan Tengku Amalin bukan sahaja di mahkamah tetapi beliau juga tidak kekok di dapur. Krew produksi juga cukup terharu apabila diberikan layanan mesra malah krew diraikan pada majlis hidangan panggang di Istana Kandis, Bachok, bersama kekandanya, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan kerabat di raja Kelantan yang lain.
Namun, paling mengujakan ketika krew melakukan penggambaran di Istana Raja Di Hilir bersama YAM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Kesudian baginda berkongsi resipi kegemaran kerabat di raja Perak selain menyelaraskan ruang santap yang cukup berseni, pasti membuat penonton terpukau. Malah, keindahan hiasan warisan Perak seperti tekat dan labu sayong dipersembahkan dengan cukup teliti.
Resipi Istana ini diterajui oleh penerbit eksekutif Ezzah Aziz Fawzy, penerbit Khairol Bariah Kamaruddin, wartawan Emmy Zalfarina Adenan dan Sulastri Mohd Juki serta pembantu penerbitan Amaani Ahmad.
Jangan lupa saksikan Resipi Istana setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula Sabtu bermula 22 Ogos 2009, jam 12.30 petang.