Nurhafizah pecah tabung ‘Itu Aje’
Setiap pagi, setiap hari, dari Isnin hingga Jumaat pasti talian di studio Suria FM akan menjadi sibuk dengan SMS yang bertalu-talu dari pendengar. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang cuba menghubungi talian Suria FM dengan harapan dapat bercakap dengan krew breakfast@suria. Ianya berterusan sejak tiga tahun yang lalu. Segalanya hanya kerana peraduan ‘Itu Aje’ di Suria FM.
Peraduan ‘Itu Aje’ di Suria FM menghadiahkan wang terkumpul berjumlah RM35,700 ringgit kepada pendengar yang dapat memberikan penyanyi dan tajuk lagu keatas keratan penghujung lagu. Peraduan ini hanya berlangsung semasa Breakfast@Suria setiap pagi bersama Halim Othman, Zizi & Shiera.
Dua pusingan akan berlangsung setiap hari pada pukul 7 pagi dan 8 pagi. Cara menyertainya ialah pendengar harus mendengar sehingga isyarat diberikan kemudian hantarkan SMS dengan menaip SuriaITU AJE Nama dan hantarkan ke 33988. Penghantar SMS yang ke-5 dan yang ke-10 akan dihubungi untuk memberikan jawapan.
Peraduan ‘Itu Aje’ ini telah bermula sejak Ogos 2009 yang lalu, bermula dari nilai RM50 sahaja. Namun, masih tiada siapa yang berjaya memenanginya sehingga menjadikan jumlah wang meningkat kepada puluhan ribu. Oleh disebabkan terlalu lama dan masih tiada siapa yang berjaya memberi jawapan dengan betul, Suria FM bermurah hati dan mengambil langkah mengadakan kempen pecah tabung ‘Itu Aje’ dengan memberikan sebanyak mana klu yang diperlukan bagi memastikan ada yang berjaya memberi jawapan dengan betul.
Sebanyak 8 klu yang diberikan oleh Suria FM kepada pendengarnya. Antara klunya ialah; penyanyi lelaki, 90-an, nama album ialah nama artis tersebut, hujung lagu berakhir dalam bentuk yang ‘sustain’, penyanyi lelaki solo yang tidak pernah menyertai apa-apa kumpulan, ‘pony canyon’, mempunyai 2 album iaitu satu pada tahun 80-an dan satu lagi pada tahun 90-an. Manakala klu yang terakhir ialah penyanyi tersebut pernah berduet dengan Amy Mastura.
Setelah pelbagai klu diberikan, akhirnya Suria FM berjaya mendapatkan pemenangnya. Nama penyanyi bagi klip hujung lagu tersebut ialah Azmeer dan tajuk lagunya ialah Zuriat Cinta. Pasti ramai yang tertamya-tanya dan memikirkan siapakah Azmeer yang sebenarnya. Beliau lebih dikenali sebagai komposer, penulis lirik dan juga penerbit, namun ramai yang tidak tahu asalnya beliau adalah seorang penyanyi yang terkenal sekitar tahun 80-an.
Norhafizah Binti Azni, 21, berasal dari Selayang Baru, Batu Cave, Selangor merupakan pemenang bertuah yang berjaya memberikan jawapan dengan betul. Ianya kebetulan apabila dikatakan beliau baru sahaja menyimpan hajat untuk menunaikan umrah dan rezeki memihak kepadanya apabila dipilih sebagai pendengar yang bertuah dan berpeluang untuk memberikan jawapan sekaligus menjadikan beliau sebagai pemenang wang tunai RM35,700 untuk peraduan ‘Itu Aje’ di Suria FM.
“Bukan mudah untuk saya mendapatkan jawapan ini. Saya mengikuti perjalanan peraduan ini sejak awal lagi. Setiap pagi saya pasti akan menanti untuk mendengar jawapan yang diberikan oleh pemanggil lain selain turut melayari laman web Suria FM untuk melihat beberapa klu yang pernah diberikan.
Tetapi sejak beberapa minggu yang lalu, sejak Kempen Pecah Tabung ‘Itu Aje’ diadakan, lebih banyak klu diberikan yang menyumbang kepada ‘research’ yang saya jalankan untuk mendapatkan jawapannya. Nasib memihak kepada saya kerana sehari sebelum saya menang, sudah ada pemanggil yang memberikan jawapan hampir tepat. Itu menguatkan lagi keyakinan saya untuk mencuba pada keesokan harinya. Hanya dua SMS sahaja yang saya hantar untuk menjadikan saya pemenang. Sememangnya rezeki saya dan sangat bersyukur atas kemenangan ini “ kata Nurhafizah, pemenang peraduan ‘Itu Aje’ di Suria FM.
Majlis penyerahan hadiah kepada pemenang telah diadakan pada 31 Mac yang lalu bertempat di Ofis Suria FM sendiri. Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan dari tuan punya lagu iaitu Azmeer. Ianya merupakan satu penghormatan yang tinggi buat Suria FM kerana menurut Azmeer, beliau sendiri hampir terlupa dengan lagu tersebut kerana sekian lama beliau tidak menyanyi. Selepas ini, lebih bbanyak peraduan yang akan diadakan di Suria FM dan peraduan ‘Itu Aje’ dimulakan semula sejak 1 April yang lalu dengan nilai pertama RM100. Pastinya ia akan terkumpul menjadi puluhan ribu buat kali kedua jika tiada yang berjaya menjawab dengan betul.