KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Nor Fazura Sharifudin atau lebih dikenali sebagai Fazura memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia gagal mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta ekoran tersiarnya satu artikel dalam sebuah akhbar tabloid yang didakwa memburukkannya.
Fazura, 26, berkata, artikel bertajuk “Fazura Rela Dipenjara” yang tersiar pada 29 Mei 2005 di Mingguan Warta Perdana itu turut memetik Fazura sebagai berkata: “Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.”
Ekoran itu, katanya, dia kehilangan kontrak bernilai lebih RM100,000 yang telah ditandatangani dengan syarikat kosmetik, Olay.
“Pada masa itu saya juga sedang berbincang dengan syarikat Maybelline, Loreal, Bonia, Clarins, Biotherm, Brands, Celcom dan Hotlink di mana perbincangan langsung tidak diteruskan lagi. Kesemuanya bernilai lebih sejuta,” katanya.
Fazura berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap syarikat Perdana Production House Sdn Bhd, yang menerbit Mingguan Warta Perdana, yang dinamakan sebagai defendan pertama, dan pemberita Haslinda Hashim, 31, sebagai defendan kedua.
Fazura dakwa gagal dapat kontrak RM1 juta ekoran artikel
Artikel itu didakwa berkaitan dengan kesnya yang dituduh menyerang surirumah Gerardine Mariana Wong di sebuah disko di Jalan Kia Peng di sini. Dalam kes itu, Fazura dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 22 September 2008.
Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, pada Isnin. Fazura juga memberitahu mahkamah bahawa isi kandungan akhbar berkenaan turut mendorong penerbit filem ‘Cinta’ menolaknya daripada berlakon dalam filem tersebut sedangkan pada awalnya mereka telah bersetuju.
Fazura bersama peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan selepas prosiding mahkamah selesai petang tadi.
“Penerbit merasakan kehadiran saya berlakon boleh menolak penonton untuk menonton sesuatu drama atau filem,” katanya.
Sehubungan itu, Fazura menuntut RM500,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai dan faedah empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penghakiman.
“Faedah 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, permohonan maaf defendan-defendan secara terbuka, kos atas dasar peguamcara dan anak guam, kos tindakan ini, ganti rugi kecederaan dan teladan serta apa-apa relif yang mahkamah fikirkan sesuai,” katanya lagi.
Sambil menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut, Fazura dalam sesi soal jawab oleh peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dia hanya menyebut “Itu semua kuasa Allah dan saya hanya bertawakkal dan redha.”
Tegasnya, dia amat terkejut dengan kenyataan artikel itu kerana dia tidak pernah mengeluarkan perkataan “saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.”
[pullquote]Saksi plaintif, Mohd Hanafiah Abdul Majid, 33, dalam keterangan bersumpahnya berkata, dia hanya mendengar plaintif (Fazura) banyak kali berkata ‘no comment’ dan dia redha dengan apa yang terjadi kerana kes sedang berjalan di mahkamah ketika ditemuramah oleh Haslinda menerusi telefon.[/pullquote]
Mohd Hanafiah memberitahu mahkamah bahawa plaintif menerima panggilan telefon daripada seorang wartawan Mingguan Warta Perdana pada bulan Mei 2005, jam 5 petang bertempat di Aseania Cafe KLCC.
Dia yang merupakan artis mekap dan pembantu peribadi kepada Fazura menafikan Fazura berkata dia rela masuk penjara ataupun tidak takut dengan hukuman.
Sementara itu, Haslinda ketika disoal balas oleh peguamnya berkata, dia hanya menanya Fazura sama ada dia (Fazura) bersedia menerima hukuman sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 323 Akta Jenayah yang boleh dihukum penjara satu tahun dan denda RM2,000.
Dan menurut Haslinda, Fazura menjawabn: “Bersedia. Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.”
Dalam pada itu, pengarang akhbar Mingguan Warta Perdana, Zuraidah Abdul Halim, 41, berkata dia memberikan arahan kepada wartawannya iaitu Haslinda pada 28 Mei 2005 untuk menemubual aktres Fazura.
Zuraidah mengaku dia menggunakan perkataan ‘Rela’ dalam tajuk ‘Fazura rela dipenjara’ untuk menarik perhatian pembaca. Katanya, ini dilakukan dengan harapan mereka tertarik dengan tajuk itu dan sedia membeli akhbar itu. Semasa ditemui di luar mahkamah, Fazura berkata, dia ingin mendapatkan keadilan daripada tuntutan samannya itu. Perbicaraan disambung esok apabila peguam kedua-dua pihak membuat penghujahan. [sumber]