Bercakap kepada wartawan dari Malaysian Digest baru-baru ini, selebriti paling jelita di Malaysia, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura, 31, mengakui sudah lama berkawan baik dengan penyanyi kelahiran Singapura, Taufik Batisah. Wah, ada apa-apa ke ni? Fazura buat pengakuan semasa ditanya di majlis pelancaran dan sidang media produk kecantikannya, Supplemen Pelansingan Badan ‘FazFit’ di Kuala Lumpur yang berlangsung minggu lepas.
Malah, bintang filem Manisnya Cinta di Cappadocia ini menyatakan dia cukup selesa menjalinkan hubungan dengan penyanyi itu sambil menyifatkan Taufik seorang lelaki yang bijak. Namun, Fazura menjelaskan hubungan mereka tidak lebih sekadar kenalan rapat.
“Memang sejak dari dulu lagi kami memang berkawan baik tetapi hubungan rapat kami tidaklah sampai selalu bermesej. Kalau berjumpa pun sekadar bertegur sapa dan berbual tentang perkembangan masing-masing. Sekarang ini, mungkin kami nampak lebih rapat sebab setiap minggu kami sebagai juri Maharaja Lawak Mega (MLM). Saya suka berkawan dengannya kerana dia seorang yang bijak dan saya sukakan lelaki bijak.”
Fazura mengulas lanjut hubungannya dengan penyanyi yang popular dengan single, Awak Kat Mana selepas sejak akhir-akhir ini, kelibat mereka mencuri tumpuan ramai peminat.
Malah, setiap kali Fazura memuat naik gambar mereka berdua di laman sosial, Instagram miliknya, gambar tersebut pasti mendapat ribuan ‘like’ daripada peminat. Justeru, ramai peminat seakan gembira dengan hubungan mesra kedua selebriti ini. Sumber: Malaysian Digest