Kegilaan Korea yang melanda pastinya bukan sahaja menerusi pengaruh muzik tetapi juga siri drama dari Negara itu yang terbukti membuai perasaan romantis selain mempertaruhkan barisan pelakon yang tampan dan jelita.
Di atas permintaan yang menggalakkan daripada penonton, ntv7 meneruskan inisiatifnya dalam menawarkan drama bersiri Korea sebagai salah satu kandungan menarik Saluran Ceria Anda itu. Terkini, ntv7 menawarkan drama bersiri ‘My Girlfriend is a Gumiho’ yang membariskan bintang Korea seperti Lee Seung-gi, Shin Min-ah, No Min-woo, Park Soo-jin dan Sung Dong-il. Drama bersiri Korea ini akan bersiaran mulai 5 Disember 2013, setiap Isnin hingga Jumaat jam 12.00 tengah hari bagi menggantikan drama Sungkyunkwan Scandal. Bagi memberikan kepuasan kepada peminat, drama itu tidak akan dialih bahasa bagi memberikan lebih emosi kepada penonton setia drama Korea ntv7.
Drama Korea bersiri terbaru ntv7, ‘My Girlfriend is a Gumiho’ bawa kelainan
‘My Girlfriend is a Gumiho’ mengisahkan seorang pelajar kolej biasa bernama Cha Dae-woong (lakonan Lee Seung-gi) yang bercita-cita untuk menjadi pelakon aksi. Kehilangan keluarga semenjak usia muda menyebabkan Cha Dae-woong tinggal bersama datuk dan mak ciknya. Sifat nakalnya menyebabkan dia dihantar ke sekolah berasrama penuh. Dae-woong yang mencari kebebasan telah cuba melarikan diri dari sekolah yang akhirnya membawa Dae-woong ke sebuah tokong di mana dia mendengar suara wanita meminta tolong dan menyuruhnya melukis seekor musang berekor sembilan (atau digelar sebagai Gumiho). Tanpa dia menyedari tindakannya itu bakal menghidupkan seekor musang wanita jelmaan dan mengubah kehidupannya secara drastik. Terkejut dengan keadaan itu, Dae-woong cuba melarikan diri dan hampir menemui ajalnya. Namun dia diselamatkan dengan manik musang pemberian Gumiho.
Dae-woong terperanjat di saat dia tersedar melihat wanita jelita berada di sisinya dan kemudian menyedari bahawa wanita itu merupakan musang berekor sembilan. Buntu dengan peristiwa yang tidak masuk akal baginya, Dae-woong memulakan kajian tentang musang yang menyerupai seorang wanita dan terperanjat mengetahui mitos mengatakan bahawa seekor Gumiho hidup dengan memakan hati seorang lelaki. Takut jika dirinya menjadi habuan musang itu, Dae-woong berusaha menutup identiti Gumiho itu dari pengetahuan orang ramai dan memberi daging sebagai makanan untuk menggembirakannya. Dae-woong memanggilya sebagai Mi-ho (lakonan Shin Min-ah) dan semakin lama mereka mengenali satu sama lain, timbul perasaan Mi-ho untuk menjadi manusia. Dalam keadaan terdesak, Dae-woong membuat perjanjian bersama Mi-ho untuk merealisasikan tujuan masing-masing. Mi-ho memberikan manik musangnya kepada Dae-woong agar dia menjadi pelakon aksi terkenal kerana dia bakal mendapat kekuatan dan ketangkasan luar biasa. Manakala Dae-woong berjanj untuk menolong Mi-ho untuk menjadi seorang manusia. Dalam masa yang sama, Dae-woong mula jatuh hati kepada Mi-ho kerana sifatnya yang lurus.
Watak lain seperti Park Dong-joo (Lakonan No Min-woo) juga diperkenalkan dimana dia merupakan separuh manusia. Dong-joo melihat banyak persamaan Mi-ho dan bekas kekasihnya, Gil-dal yang merupakan makhluk jelmaan yang dicintainya beberapa abad yang lalu. Namun malang bagi Gil-dal kerana mencintai manusia yang membelot dan menyebabkannya mati. Dong-joo percaya bahawa Mi-ho sebenarnya adalah jelmaan semula Gil-dal dan mengambil keputusan untuk menjaga keselamatannya dan cuba membantu Min-ho menjadi manusia. Dong-joo memberitahu Mi-ho jika dia mengikut beberapa syarat yang memerlukan dia meminum darah manusia serta meletakkan manik musangnya di dalam badan orang lain selama 100 hari akan menjamin dirinya menjadi manusia sebenar. Dengan meletakkan manik di dalam badan orang lain kuasa musangnya akan hilang sedikit demi sedikit sebelum Mi-ho mendapatkannya semula. Mi-ho menuruti arahan itu dan Dae-woong menerima maniknya.
Walaubagaimanapun ada yang tidak diketahui Dae-woong dan Mi-ho bahawa syarat itu bakal mengorbankan nyawa Dae-woong apabila Mi-ho berjaya menjadi manusia. Bagaimanakah kisah cinta ini bakal berakhir? Adakah mereka akan mengetahui rahsia ini? Dan jika mengetahuinya apakah cara untuk kekal bersama?
Saksikan drama bersiri Korea ‘My Girlfriend is a Gumiho’ yang sarat dengan elemen lucu, romantic dengan garapan yang unik serta telah memenangi beberapa anugerah bersiaran di ntv7, bermula 5 Disember 2013, setiap Isnin hingga Jumaat jam 12.00 tengah hari.