Saluran ntv7 akan menyiarkan sesi kelayakan dan perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2014 pada hari Sabtu, 3.50 petang dan pada hari Ahad jam 4.00 petang.
“Formula 1 tahun ini bakal menyaksikan lebih banyak drama dan keseronokan dengan peraturan, pemandu dan litar baru.
Tidak kira siapa jua yang bakal merebut gelaran juara, kejohanan yang telah lama dianjurkan ini tidak pernah gagal membuktikan kepada dunia yang F1 merupakan siri perlumbaan perdana,”
– Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.
Beliau seterusnya berkata “ntv7, stesen yang dikenali dengan pengalamannya dalam menyiarkan acara sukan utama antarabangsa amat gembira menerima hak penyiaran Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2014 di mana sesi kelayakan dan sesi perlumbaan akan disiarkan kepada para penonton secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Perantara ‘Grandstand’, Adrian Jalaludin juga bakal menyediakan laporan terkini tentang perkembangan, kedudukan para peserta serta segala maklumat menarik mengenai kejohanan itu yang bersiaran 30 minit sebelum perlumbaan.
Selain siaran secara langsung, saluran itu juga bakal membawakan lebih banyak informasi terkini mengenai kejohanan itu menerusi liputan tambahan di edisi beritanya – Edisi 7 (7.00 malam), 7 Edition (8.00 malam), dan Mandarin 7 (10.30 malam) – serta rancangan temubual Harian, Good Morning Tai Tai (8.00 pagi) dan Bella (11.00 pagi)
Selain itu, informasi mengenai acara sukan antarabangsa itu juga akan dikongsi melalui ruang media sosial ntv7 dengan maklumat terkini. Rakyat Malaysia juga digalakkan menggunakan #F1.
Perlumbaan sebelum ini yang berlangsung pada hari Ahad, 16 Mac menyaksikan kemenangan pemandu dari Jerman, Nico Rosberg mengatasi pemandu pilihan seperti Lewis Hamilton dan Daniel Ricciardo. Secara keseluruhan ini merupakan kemenangan keempat di dalam rekod beliau.
Sementara itu, kejohanan kali ini juga menyaksikan peraturan baru iaitu penggunaan enjin turbo 1.6L V6 berbanding enjin V8 pada tahun 2013.
Dikatakan acara sukan bermotor antarabangsa ini berjaya menarik seramai 600 juta penonton kerana elemen unik sukan ini sendiri yang melibatkan kejuruteraan dan fizik yang mengujakan.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.ntv7.com.my atau www.tonton.com.my.