in

NTV7 Semarakkan Semangat Hijau – Ceriakan Bumi Kita

TERUS SEMARAKKAN SEMANGAT HIJAU!
…Ceriakan Bumi Kita Dengan Rasa Tanggungjawab…

Hari Bumi disambut ketika Ekuinoks berlaku pada bulan Mac setiap tahun, iaitu pada hari di mana alam sejagat mencapai keseimbangan semulajadi. Dari sudut astronomi, Ekuinoks berlaku apabila matahari boleh dilihat tepat di atas khatulistiwa Bumi, berlaku lebih kurang pada 20 Mac setiap tahun. Ia menandakan bermulanya musim bunga – tanda semulajadi untuk satu permulaan dan kehidupan baru.

Pembuka tirai untuk sambutan Hari Bumi di Saluran Ceria Anda adalah pelancaran kempen “Go Green”. Kempen ini bertujuan untuk menghibur, mendidik  serta membantu penonton mencari kaedah praktikal untuk perubahan alam sekitar yang positif pada gaya hidup, kediaman dan perniagaan mereka. ntv7 akan berkongsi idea, panduan untuk menjimatkan wang serta menyebarkan cerita yang akan membantu mengembangkan kempen ini ke serata negara. Dari program kitar semula ke projek pembaikan rumah ke taman hijau, kempen ini akan terus menawarkan penonton himpunan idea dan peluang interaktif.

Sepanjang bulan Februari hingga April, penonton dapat menyaksikan pesanan khidmat masyarakat oleh personaliti ntv7 dan penyampai berita 7 Edition, Edisi 7 serta Mandarin 7 seperti Nazruddin Habibur Rahman, Sheahnee Iman Lee, Rosmanizam Dali, Florence Looi, Adriana Aris, Charles Mohan, Linda Salim, Azleena Najri, Tan Lay Teng, Chew Siew Young, Wong Loke Tung, Zaiti Zubir, Lim She Ting, Chan Wei Wei, Tiang Kah Chee dan Chee Kah Teik. Mesej penuh bermakna ini akan tampil dalam tiga bahasa.

Tiga rancangan akan bersiaran untuk menjamu anda di rumah. Dihoskan oleh Robert Redford, pelajari tentang cara hidup yang lebih baik dan mesra alam dalam siri dokumentari Big Ideas for a Small Planet. Setiap episod akan memaparkan himpunan pandangan dan idea berguna ke arah pelaksanaan bumi hijau di samping bertindak untuk lebih mewar-warkan mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar. Dokumentari semasa ini pastinya membuka mata penonton mengenai produk atau proses yang boleh mengubah kesan terhadap bumi tercinta yang sebelum ini dianggap remeh. Setiap topik turut akan menampilkan pakar, aktivis, usahawan dan golongan pemikir. Siri 30 minit ini bersiaran untuk 13 episod, mulai Januari 2009, setiap Khamis, 7.30 malam.

Seterusnya, saksikan Ecoluxe, sebuah siri pengembaraan di mana penonton berpeluang untuk bersantai di tempat percutian elit dan eksklusif yang menggambarkan gaya hidup penuh glamor. Pengembara Jayms Ramirez membawa penonton ke lokasi percutian kreatif yang juga unik dan mesra alam seperti spa hutan hujan yang tidak menggunakan bekalan elektrik, hotel berkonsepkan ‘tree house’ di Australia dan kawasan perumahan Mozambique yang  menggunakan kuasa solar sepenuhnya. Dapatkan jawapan mengapa pengembara elit ini cukup obses dengan percutian ke lokasi mesra alam. Siri selama sejam ini akan muncul dalam empat episod dan mula bersiaran pada 1 Mac 2009, setiap Ahad, 12 tengah malam.

Pada zaman yang menyaksikan perubahan mendadak di serata dunia ini, terutamanya di benua tertua dan terancam, Afrika, sekumpulan zoo dan yayasan pemuliharaan bergabung untuk satu misi yang sama: bagi menyelamatkan spesies yang semakin pupus. Dalam The Heirs to the Ark, sertai pengembaraan ke hutan Afrika yang terpinggir untuk membongkar cabaran yang dilalui oleh yayasan pemuliharaan ini dalam menyelamatkan hidupan liar Afrika yang luar biasa. Siri yang mempunyai enam episod ini akan mula bersiaran pada Mac 2009.

Selain program televisyen, ntv7 turut turun padang! Pada hari Sabtu, 14 Februari 2009 yang lalu, ntv7 menganjurkan “Young Aquarist Programme”, yang memberi peluang 20 orang anak yatim dari Rumah Hope untuk mempelajari dan mengenali hidupan laut beserta lawatan pendidikan di Aquaria KLCC. Anak-anak yatim ini akan turut berpeluang mencuba menikmati Hop-On Hop-Off di sekeliling kota di samping lawatan tutorial di Menara Kuala Lumpur. Personaliti The Breakfast Show ntv7 iaitu Daphne Iking, Nazruddin Habibur Rahman, Joanne de Rozario dan Zaini Ahmad turut hadir untuk menghiburkan anak-anak tersebut.   

 

“Kini, masyarakat tempatan sudah mula mendekatkan diri dengan kerja-kerja untuk penghijauan alam,” kata Pengurus Besar ntv7 Airin Zainul. Kami ingin terus membantu mengembangkan aktiviti ini dan menghubungkan penonton dari semua lapisan umur dengan informasi dan sumber yang mereka perlukan. Selain menyiarkan program-program berinformasi dan menganjurkan aktiviti bersama masyarakat, kami turut mengambil langkah menamatkan siaran lebih awal berbanding selalu iaitu pada jam 1:00 pagi sebagai menyokong usaha mengurangkan kesan perubahan cuaca dunia kerana dengan cara ini, kita turut menjimatkan penggunaan tenaga. Adalah amat penting untuk rakyat daripada semua lapisan umur memupuk amalan mesra alam ini di dalam kehidupan harian mereka.”

Di laman web ‘Go Green’ di www.ntv7.com.my, penonton akan berpeluang menyumbang idea dan penyelesaian, dari panduan kitar semula dan lokasi ke projek untuk dilakukan di rumah ataupun laman. Stesen ntv7 turut memanggil mereka yang berminat berkongsi idea untuk membantu menghijaukan alam. Hubungi ntv7 di 03-7726 8777 atau hantarkan emel ke [email protected]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Dafi & Shila @ Sidang Media Kempen CAMNI-LAH

Senarai Nama Pelajar Akademi Fantasia Musim Ke-7