Kempen Saya Sayang Malaysia yang dilancarkan Media Prima Berhad Julai lalu bakal disemarakkan lagi oleh Saluran Ceria Anda, ntv7 menerusi rancangan-rancangan produksi tempatan sebagai usaha bersepadu bagi kempen tersebut. Beberapa program dokumentari tempatan dan rancangan temubual terkenalnya – The Breakfast Show – bakal membawakan isu nasional seiring sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 serta ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia. Kempen itu juga menggalakkan orang ramai menggunakan hash tag khas, #MYSyg (dibaca sebagai hashtag My Sayang) untuk kempen ini.
ntv7 semarak kempen Saya Sayang Malaysia menerusi program istimewa
Istimewa Merdeka
The Breakfast Show Merdeka Special (31 Ogos 2013, 8.00-10.00pagi)
Ogos ini, rancangan temubual pagi The Breakfast Show membawakan edisi khas sambutan kemerdekaan yang ke-56, di mana para pengacaranya, Naz Rahman, Lisa Wong, Jonathan Putra, Aishah Sinclair, Sasha Bashir dan personaliti berita ntv7 akan berkongsi keindahan dan keunikan Malaysia. Mereka juga bakal mengimbau kembali sejarah negara dan melihat pembangunan serta perubahan progresif Malaysia yang kaya dengan budaya dan penduduk berbilang bangsa.
Malah rancangan The Breakfast Show akan membawakan Perarakan Hari Kemerdekaan secara langsung dari semasa ke semasa. Pastinya anda bakal teruja kerana perarakan kali ini bakal menerapkan unsur ketenteraan di mana anda berpeluang melihat kelengkapan tenteraan yang digunakan untuk mempertahankan negara seiring dengan tema Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.
Tetamu jemputan kali ini adalah pengacara majlis terkenal yang mahir pelbagai bahasa, Dato’ Mahadzir Lokman serta Chef Malaysia yang terkenal dari Kota London, Chef Norman. Siaran langsung ini akan disiarkan selama dua jam dari jam 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi.
Merdeka Day Special 2013 (30 Ogos 2013, 6.00 petang)
Seterusnya rancangan majalah dokumentari berbahasa Mandarin, Merdeka Day Special akan disiarkan. Dokumentari yang dihoskan oleh pembaca berita Mandarin 7, Tiang Kah Chee akan mengupas masalah kewarnegaraan yang dikatakan masih wujud sehingga sekarang.Masalah kewarnegaraan ini juga bakal menumpukan kepada isu yang wujud apabila orang asing mengahwini warganegara asing dan undang-undang Malaysia. Kembara rancangan ini bakal ke Kedah bagi menziarahi dua keluarga yang mengalami masalah dalam permohonan kewarnegaraan Malaysia.
Istimewa Hari Malaysia
Malaysia Day Special 2013 (16 September 2013, 6.00 petang)
Manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti akan membawakan sebuah lagi dokumentari khas berbahasa Mandarin dengan pengacaranya, Dylan. Rancangan dokumentari ini bakal membawakan festival muzik yang meraikan kepelbagaian seni muzik dunia yang bertempat di Kuching, Sarawak. Antara yang bakal penonton lihat adalah bengkel muzik yang diadakan, pameran kraf menarik dan pastinya persembahan menarik di pentas utama yang mempamerkan muzik tradisonal, gabungan muzik moden serta kontemporari. Raikan Hari Malaysia dengan muzik dunia!
We Are Family (16 September, 2013, 1.30 petang)
Kisah komedi romantik dan mengangkat tema kekeluargaan ini adalah lakonan Alan Tam Wing-Lun, Hacken Lee Hak-Ken. Kisah bermula apabila Li Zhijie (Hacken Lee) melamar kekasih pramugarinya, Jin Feng (Hu Jing). Namun ianya bukan semudah yang disangkakan kerana Li Zhijie bakal bertemu keluarga Ji Feng bagi menambat hati mereka. Zhijie bakal menemui bakal adik beradik iparnya, nenek Jinfeng dan ahli keluarganya. Dalam masa yang sama mereka akan menguji kesabaran dirinya. Namun, apabila Zhijie bertemu abang sulung Jinfeng, Zhijie menyedari bahawa dia merupakan musuh perniagaannya. Mampukah dia menawan hati keluarga Jinfeng dan berkahwin? Nantikan We Are Family 16 September ini.