ntv7 akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (“KPM”) dalam melancarkan saluran khusus TV Pendidikan dan Didik Hiburan yang dikenali sebagai DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) bermula hari ini. Ia dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd. Yassin menerusi rancangan Malaysia Hari Ini (“MHI”), DidikTV KPM di ntv7 serta saluran Youtube/Facebook ntv7 Malaysia. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, turut hadir dalam rancangan MHI bagi menghuraikan dengan lebih lanjut kandungan saluran DidikTV KPM.
Seiring dengan inisiatif ini, rombakan jadual penyiaran di ntv7 telah memberi laluan kepada saluran DidikTV KPM yang akan bersiaran setiap hari. Kandungan yang disiarkan ini telah diluluskan oleh KPM selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan. Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi.
Perubahan dalam kandungan saluran ntv7 merupakan satu sokongan drastik dalam membantu usaha KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dan Primeworks Studios, Dato’ Khairul Anwar Salleh, “Dalam usaha untuk mengetengahkan ntv7 sebagai hub pendidikan Malaysia, Buletin Didik diperkenalkan bagi memaparkan perkembangan industri pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar, guru dan sekolah.”
ntv7 komited untuk menyajikan program-program yang bersasar kepada golongan muda supaya menjadi sumber inspirasi dan hub maklumat kepada generasi muda. Slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari, pukul 7.30 malam dan siaran ulangan pada pukul 12.00 tengah hari keesokannya. Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan ko-kurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan turut diberikan liputan. Di samping itu, tiga program tersedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan kandungan yang relevan dengan dunia pelajar.
Berita baik buat calon-calon SPM, ntv7 akan menambah slot waktu program popular Road To Success SPM 2020 bagi membantu mereka gerak gempur sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Februari ini.
Ikuti DidikTV KPM, setiap hari dari jam 7.00 pagi di ntv7, saluran 107 di MyTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di unifi tv, serta YouTube ntv7 Malaysia!