in , ,

NTIS – Airasia Teroka Khidmat Penghantaran Melalui Dron Di Kawasan Bandar

Bekerjasama dengan MaGIC untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di Kawasan Bandar

Para pembeli di Malaysia tidak lama lagi boleh menikmati pengalaman beli-belah baharu kerana Teleport, cabang logistik airasia Digital hari ini mengumumkan kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), selaku Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di Kawasan Bandar dan menguji daya maju jangka panjang perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar.

Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang airasia termasuk airasia shop menggunakan dron automatik akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) ketiga di Cyberjaya. Perkhidmatan ini masih dalam peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.

AIRASIA

Fasa pertama projek di Cyberjaya ini bertujuan untuk menilai keupayaan, pengalaman, proses kelulusan, kesediaan dron dan pengembangan perkhidmatan oleh pengendali dron. Perkhidmatan ini dijangka akan dilancarkan setelah fasa percubaan berjaya dan mungkin diperluaskan di luar persekitaran sandbox.

Sebagai pusat penyelarasan dan pemudahcara penyelesaian nasional, NTIS menyediakan langkah kritikal dengan memberi kelonggaran kepada proses terpilih atau keseluruhan dan/atau keperluan kawal selia untuk mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.

Dalam merealisasikan projek ini, NTIS telah bekerjasama rapat dengan satu-satunya pengawal selia teknikal di Malaysia iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan aspek keselamatan bagi perkhidmatan kenderaan udara tanpa pemandu di kawasan bandar memenuhi keperluan dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh CAAM. Ini juga untuk memastikan keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi selain memudahkan kemajuan teknologi.

YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata: “Kami bersedia untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron (DroneTech), yang dijangka akan menjana USD127 bilion menjelang 2025. Saiz pasaran global khusus untuk penghantaran pesanan melalui dron berjumlah USD642.4 juta pada tahun 2019, dan diunjurkan untuk mencapai USD7.388 bilion pada tahun 2027. Perkhidmatan penghantaran melalui dron juga dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor selain e-dagang, seperti penhantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam.

NTIS berbesar hati untuk menjemput syarikat permulaan dalam teknologi dron untuk mengembangkan perkhidmatan mereka dengan menghubungkan mereka dengan pengawal selia, syarikat telekomunikasi dan pemain ekosistem lain. Peranan kami adalah untuk terus membangunkan ekosistem teknologi dron, dan memacu industri ini dengan bantuan kerajaan. Pandemik ini telah membuka peluang untuk mempercepat perubahan struktur ekonomi, dari segi digitalisasi, automasi serta robotik, dan kita perlu bersedia menghadapi perubahan ini untuk membawa Malaysia ke arah ekonomi berasaskan inovasi. Kami percaya kerjasama strategik antara airasia dan MaGIC akan memacu sektor ini dan menandakan permulaan revolusi perkhidmatan penghantaran dron di kawasan bandar.”

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group berkata: “airasia sentiasa berinovasi sejak kami ditubuhkan 20 tahun yang lalu. Kini, kami telah menembusi industri e-dagang dengan airasia super app yang menawarkan makanan, barangan runcit, penghantaran produk bebas cukai oleh cabang logistik kami, Teleport dan banyak lagi. Ini adalah usaha jangka masa panjang kami, justeru kami teruja untuk bekerjasama dengan MaGIC bagi meneroka perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar. Ini adalah satu penyelesaian logistik inovatif yang akhirnya akan meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan operasi serta menjadikan perkhidmatan penghantaran di kawasan bandar lebih pantas. Selain itu, perkhidmatan penghantaran melalui dron menjadikan kami lebih berdaya saing untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor e-dagang dan lebih tangkas untuk menghadapi landskap ekonomi yang berubah-ubah.

“Apa yang paling penting, inovasi ini akan membolehkan kami mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia. Kemampuan untuk mengubah peranan adalah sebahagian daripada budaya kami dan walaupun ada yang kehilangan pekerjaan dalam sektor penerbangan, kami dapat menawarkan peluang kedua kepada mereka untuk membina kerjaya baharu dengan kami melalui sektor e-dagang. Sebagai peneraju inovasi, kami bersedia untuk menghadapi cabaran inovatif baharu dan gelombang Revolusi Industri 4.0 untuk kelebihan kami. Kami hanya melihat ke hadapan dan tidak sabar untuk menghantar pesanan anda melalui dron airasia di masa akan datang.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Facebook Dipantau PDRM, Zul Yahya Dedah Sebab Kenapa Keluar Tabligh

Cepat Penat & Suka Tidur Petang, Miera Leyana Gembira Sudah Hamil Tujuh Bulan