Hampir dua bulan menunggu, Nourul Depp akhirnya ‘terbang’ ke Bali, Indonesia bagi memulakan kehidupan baharu bersama keluarga seperti yang dirancang sejak lalu tahun lalu.
Penyanyi itu kini dalam penerbangan ke pulau peranginan berkenaan selepas mengambil keputusan berpindah demi pendidikan anak-anak.
“Hari ini adalah harinya. Alhamdulillah, selamat ‘check-in’. Terima kasih kepada yang mendoakan. Bukan mudah berjalan dengan anak kecil, tetapi Allah mempermudahkan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan lapangan terbang dan imigresen. Sayang anda semua,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam perkongsian itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 44, memuat naik video detik menunggu penerbangan bersama keluarga.
Perpindahan ke kediaman baharu bersama suaminya, Eric Daniel itu disertai tiga cahaya mata mereka iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2.
Manakala anak sulung hasil perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Ayu Nazirah, 23, tidak ikut serta sebaliknya menguruskan operasi perniagaan Diva Kurus di tanah air.
Terdahulu, pelantun lagu Kerana Terluka itu memaklumkan penghijrahan yang sepatutnya dibuat tahun lalu tergendala disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Dia dan Eric yang mengendalikan bisnes makanan kesihatan terkemuka nekad memilih pulau berkenaan bersandarkan masa depan serta prospek pendidikan anak mereka.
Malah pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2012 itu sudah mendaftar di sebuah sekolah berkonsepkan kemahiran sejak awal tahun.
Pada masa sama, Nourul mengakui suaminya mahu berhijrah ke destinasi terkenal itu kerana pernah menetap selama dua tahun di sana.
Sebelum itu, dia pernah menyuarakan rasa sedih apabila keputusan untuk berhijrah mendapat kecaman teruk daripada netizen.
Sumber: K! ONLINE