Norman yang juga Pengarah Urusan KRU Studios Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, dia sangat terkejut dan sedih apabila ada beberapa kenalan yang menghantar pautan sebuah blog mengaitkannya dengan tokoh politik kononnya ada konspirasi menerbitkan video lucah terbabit.
Norman berkata, disebabkan dia bergambar dengan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan juga Haziq tidak bermaksud dia terbabit dalam penghasilan video terbabit.
“Secara peribadi, saya tidak pernah menonton video itu dan adalah tidak selayaknya saya berikan komen yang terlalu mendalam. Saya menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya dalam penerbitan video itu,”
– Datuk Norman
Terdahulu, satu blog menyiarkan gambar mereka berempat bergambar bersama beberapa individu lain selepas menonton filem Avengers : Endgame pada 4 Mei lalu.
Artikel berkenaan menggambarkan Norman, Anwar dan Fahmi sebagai dalang yang mungkin berkonspirasi di sebalik penyebaran video itu.
Seorang individu kemudian memuat naik komen, “Ada director, ada producer, ada actor dan ada teknologi pun boleh buat cerita Abangjer Endgeligeleman jugak kan? Aku rasa dalam citer ni Thanuar atau Ironmin akan mati, atau ikut Avengers Endgame dua-dua kaput?
Kenyataan itu kemudian dipetik dan disebarkan dalam bentuk poster dengan mengaitkannya dengan isu penyebaran video terbabit.
Norman berkata, dia tidak mengenali Haziq dan pada hari itu dia bersama isteri dan anak dipelawa pegawai kanan dari pejabat Anwar untuk menonton filem Avengers : Endgame sebelum Ramadan.
“Selepas menonton filem berkenaan, kami secara spontan bergambar beramai-ramai sebelum semuanya bersurai. Dengan penjelasan ini, saya berharap tiada lagi pihak mengaitkan saya dalam isu ini,”
– Datuk Norman
Norman berkata, dia juga tidak dapat memberi pendapat sama ada video itu tulen atau diterbitkan menggunakan teknologi penerbitan visual.
Namun, katanya, dari sudut teknikal dan teknologi terkini, penghasilan sesuatu video yang tidak membabitkan pelakon sebenar boleh diterbitkan untuk penjanaan imej yang realistik.
“Selain penggunaan kesan khas visual melalui perisian komputer, penggunaan ‘body double’, kesan khas dan solekan bagi menyerupai wajah-wajah individu atau pelakon boleh digunakan.
“Sekiranya durasi klip video itu pendek, gambar atau visual yang gelap atau samar-samar, visual beresolusi rendah, disunting dari pelbagai sudut kamera (bukan dari satu sudut saja) dan durasi video yang pendek ianya lebih mudah untuk menghasilkan visual yang meyakinkan menggunakan teknik-teknik yang saya sebutkan tadi.
“Namun, sekiranya sesebuah video itu menggunakan teknik-teknik saya sebutkan tadi, ia akan membabitkan banyak pihak dan bukanlah mudah untuk merahsiakan sesuatu perkara seperti ini khususnya membabitkan tokoh berprofil tinggi,”
– Datuk Norman
Sumber: Harian Metro