in ,

Norish Karman & Sharifah Sofea dalam Menangguh Tangisan

Sesetengah orang menganggap dengan menangis dapat menghilangkan tekanan perasaan yang ditanggung. Pada masa sama meluahkan perasaan dengan mengeluarkan airmata mampu membuatkan seseorang itu tenang dan kemudiannya cuba mencari jalan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Namun tidak bagi seorang wanita Bosnia bernama Sandra. Baginya tangisan hanya menyumbang kepada perasaan putus asa dan melemahkan perasaan seseorang. Berdepan dengan cabaran akibat suami yang dicintainya mula berpaling tadah kepada wanita lain membuatkan Sandra teguh dengan pendiriannya berdepan dengan kenyataan. Mujur dirinya tidak berseoranang apabila dirinya sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga mertua yang amat menyayanginya.

Namun hati seorang wanita umpama kerak nasi yang jika di rendam lembut jua. Semangatnya semakin pudar bila di hadapan orang ramai dirinya dihina suami sendiri. Kisah terlukanya hati seorang gadis Bosnia apabila kejujuran hatinya tercemar melatari drama Menangguh Tangisan lakonan Syarifah Sofea yang bergandingan dengan Beego membawakan watak utama.

telemovie MENANGGUH TANGISAN

Menemui penonton pada 11 Mac 2011, jam 10.00 malam di TV2, drama sarat pengajaran berguna ini turut dibintangi oleh Norish Karman, Ridzuan Hashim, Dato Jalaluddin Hassan, Norman Hakim, Lydiawati dan Pekin Abby.

Plotnya bermula dengan babak Maarof terpaksa ke Sarajevo untuk memujuk isterinya Sandra balik semula ke Malaysia setelah di desak oleh ibunya. Sudah setahun Sandra telah balik ke Sarajevo kerana kecewa pada Maarof apabila Maarof berkahwin dengan Harleena. Leena adalah kekasih pertama Maarof yang sebelum ini pernah mengecewakan Maarof. Harleena gagal dalam perkahwinannya semasa bekerja UK.

Harleena tersalah mencaturkan hidup. Dia terperangkap dengan suaminya sendiri, Dr.Hizbullah yang telah terlibat dalam gerakan ekstremis islam di eropah berpusat di London. Harleena dipaksa memakai jubah dan burqa dan diminta aktif dalam gerakan.

Maarof mula bertemu semula dengan Sandra setelah berpisah di UIAM ketika mereka sama-sama belajar di UIAM. Pertemuan ketika sama-sama menghadiri sebuah forum di Istanbul telah membuahkan kemesraan dan akhirnya jatuh cinta. Ketika itu masing-masing berada dalam kehilangan orang tersayang.

Ketika itu Sandra baru saja kehilangan teman istimewanya kerana keengganannya untuk memeluk agama kristian katholik. Maarof pula dalam kekecewaan kerana teman istimewanya, Leena telah berkahwin dengan seorang pemuda Pakistan ketika bekerja di London. Kekosongan hati masing-masing telah menjalin kemesraan dan percintaan.

Maarof pernah mengunjungi kampung Sandra di Sarajevo dan simpati dengan Sandra kerana keluarga Sandra telah meninggal dunia semasa perang. Sandra membesar di sebuah rumah anak yatim. Sandra kemudiannya berkahwin dengan Maarof dan telah berjaya menukar kerjaya menjadi pensyarah ekonomi di UNISEL . Maarof juga seorang pensyarah kejuruteraan di UNISEL.

Sebelum kepulangan Leena, kehidupan Maarof dan Sandra amat bahagia. Sandra umpama bidadari dan ditatang oleh seluruh keluarga Maarof terutamanya ibu Maarof, Saidah. Tetapi apabila Leena balik bertugas di Malaysia semula, dia memerlukan Maarof untuk melindunginya kerana dia dalam perhatian gerakan suaminya.

Dia terpaksa lari balik ke Malaysia kerana dia tak mahu terus terperangkap dalam gerakan ekstrem suaminya. Dia dipaksa, diugut dan didera oleh suaminya. Dia terus mencari Maarof dan ingin berkahwin dengan Maarof sebagai suatu perlindungan. Dia sanggup menghancurkan hati Sandra demi tamakkan kasih sayang Maarof. Dia tak peduli pada hati manusia lain.

Sandra amat terluka dengan perubahan sikap Maarof. Maarof mengubah prinsip dan gaya hidup. Tidak lagi mahu jujur dan ikhlas dengan Sandra. Sandra memendam rasa. Sandra sedar perubahan sikap Maarof tetapi dia bersabar. Maarof semakin kurang memberi tumpuan pada Sandra. Sandra menyembunyikan perasaannya. Pada hari Sandra masuk hospital, Maarof tidak bersama. Ketika itu Maarof menemani Leena bekerja di luar daerah. Sandra mengalami satu penyakit kronik yang sudah sejak lama. Saidah amat kecewa, kesal dan marah pada Maarof kerana membiarkan Sandra sendirian.

Maarof menyalahkan Sandra kerana tidak memberitahunya sewaktu hendak masuk hospital. Tekanan dari ibunya membuatkan Maarof melepaskan kemarahan yang luar biasa terhadap Sandra. Sandra amat terluka.

Suatu hari Sandra dan Maarof bergaduh di kampus dan disaksikan oleh para pelajar. Ada dikalangan siswa yang bersimpati dengan Sandra. Sandra merupakan pensyarah popular dan mesra dengan siswa. Pertengkaran itu membulatkan hasrat Sandra untuk pulang dan menetap di Sarajevo. Lalu apakah kesudahannya? Masihkan ada ruang di hati Sandra untuk memaafkan suaminya itu setelah Maarof kembali sedar cinta isterinya begitu ikhlas terhadap dirinya?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ayu Raudhah Dalam Drama KELAB EMANSIPASI

Rebut RM70ribu di Peraduan Lagu Berduit Suria FM