Ratu Etnik Kreatif Noraniza Idris mengakui berdepan pelbagai cabaran menjelang Showcase Istimewa Sawo Matang yang akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada 13 dan 14 April ini.
Berikutan beberapa kekangan, Noraniza, 51, terpaksa membatalkan hari pertama persembahan pada 12 April ini sekali gus menyaksikan hanya dua hari saja penyanyi itu dapat beraksi.
“Ini adalah showcase pertama anjuran saya. Banyak cabaran dan kekangan terpaksa diharungi sepanjang melakukan persiapan.
“Ikut perancangan asal, mahu guna ‘live band’ namun atas beberapa sebab tak dapat dielakkan, ia terpaksa dibatalkan dan saya menggunakan muzik ‘minus one’ yang disusun semula,”
– Noraniza Idris
Bukan itu saja, Noraniza juga diuji apabila sukar mencari penyanyi latar.
“Pada awalnya, saya sudah ada penyanyi latar untuk showcase ini. Bagaimanapun, mereka menarik diri dengan alasan tidak mampu membawakan lagu-lagu yang susah.
“Jadi, suka atau tidak saya terpaksa sunting muzik dan masukkan suara penyanyi latar terlebih dulu sebagai persiapan,”
– Noraniza Idris
Tiket untuk menyaksikan Showcase Istimewa Sawo Matang sudah terjual sebanyak 70 peratus sejak tiga minggu lalu.
“Jualan tidaklah rancak seperti konsert lain. Mungkin kerana sepanjang April banyak konsert lain diadakan dan saya tahu susah nak tarik orang untuk beli tiket persembahan berkaitan kebudayaan,”
– Noraniza Idris
Menerusi persembahan berdurasi dua jam itu Noraniza akan menyampaikan 26 lagu solo dan medley yang dibahagikan kepada lapan segmen.
Tiket masih boleh dibeli dengan harga RM119 hingga RM189, manakala untuk pembelian secara pukal berharga RM50.
Sumber: Harian Metro