in , ,

Noraniza Idris Aktifkan Semula Penerbitan Lagu-Lagu Irama Malaysia Bermula 2022

Buat peminat Ratu Irama Malaysia, yang sudah tentu merindukan karya dan lagu Noraniza Idris, pastinya ini satu berita gembira! Noraniza Idris akan kembali aktif untuk menghasilkan lagu-lagu Irama Malaysia dan ini perancangan beliau untuk tahun mendatang.

Memikirkan negara berdepan dengan pandemik global Covid19 yang panjang, semangat untuk meneruskan perjalanan seni hampir menuju ke jalan buntu dan putus asa. Bukan mudah untuk menongkah arus bagi seorang insan seni seperti Noraniza Idris yang sentiasa berlawan arus untuk bangkitkan semangat cinta pelapis kepada seni dan budaya. Berlawan arus dengan permintaan penaja yang lebih bersifat komersil, ketengahkan muzik yang bukan menjadi minat generasi masakini adalah antara cabaran utama yang dilalui. 

Noraniza Idris Aktifkan Semula Penerbitan Lagu-Lagu Irama Malaysia Bermula 2022

Pengalaman penggiat seni dalam Covid19 

Semenjak PKP1.0, semangat saya mula berbelah bahagi antara tanggung jawab sosial kepada masyarakat dengan kerjaya nyanyian. 

Ketika itu, saya lebih rela korbankan sahaja kerjaya seni saya dari melihat anak-anak generasi kita yang sedang seronok mempelajari seni di bawah program C.S.R budaya yang saya anjurkan terhenti secara tiba-tiba. Sedih berbaur risau yang sangat hebat bila mendengar keluh kesah teman-teman artis yang kurang bernasib baik, pemikiran saya menjadi sangat keliru dan bercelaru.

Syukur Alhamdulillah, PKP ni banyak mendidik ertikata kesabaran dan keredaan yang sebenarnya. Banyak perkara yang membuatkan saya bermuhasabah diri dari kelemahan dan kekhilafan masa lalu. Ini lah masa untuk saya terus perbaiki diri demi kebahagiaan diri dan keluarga. Jika selama ini saya banyak utamakan pekerjaan tanpa memikirkan ukhwah kekeluargaan, PKP ni banyak mengubah jiwa dan pemikiran saya menjadi lebih kuat. Fasa demi fasa mula dibuka sekarang. 

Ramai teman-teman artis sudah boleh berkarya semula walaupun dengan S.O.P yang ketat. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kepimpinan Y.A.B Perdana Menteri ke 9 dan seluruh warga kepimpinannya.

Noraniza Idris Aktifkan Semula Penerbitan Lagu-Lagu Irama Malaysia Bermula 2022

Semangat Tahun Baharu 2022

Hari ini saya mula bersemangat dan mula fokuskan masa depan perjuangan asal saya untuk bangkitkan semula Irama Malaysia dengan lebih agresif lagi pada tahun 2022. Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd masih mempunyai artis yang aktif menerbitkan lagu-lagu Irama Malaysia di bawah naungan seperti Ihab Ismail, Azmir Arif dan Ahmad Fedtri Yahya. 

Single baharu bermula Disember terbitan bersama Luncai Emas (M) Sdn Bhd

Sempena menjelang 2022 akan datang, saya akan mula menerbitkan semula lagu-lagu Irama Malaysia. Intan Payung adalah single penampilan khas saya bersama Bunga. Biarpun negara kita melalui PKP, saya sangat bersyukur, lagu ini telah membuka laluan kepada muzik Irama Malaysia berada sebelah kaki dalam industri muzik sekarang dengan tontonan 6 juta semenjak dilancarkan. 

Apa yang menjadi harapan saya, pelancongan negara terus terbuka luas bermula tahun 2022 ini.  

Bagi memulakan langkah pertama, kini saya sedang memfokuskan sebuah penerbitan single terbaharu bersama Luncai Emas (M) Sdn Bhd. Proses perbincangan awal dengan Luca Sickta telah diadakan. Memandangkan kami bernaung di bawah syarikat publishing yang sama dan merupakan komposer yang sama menerbitkan lagu Intan Payung, tidaklah menjadi sukar untuk bekerjasama. 

Jika tiada aral, Disember ini akan muncul single terbaharu dari saya. Kali ini saya akan berganding dengan seorang artis lelaki baharu yang masih dalam proses pemilihan oleh pihak pengurusan yang bertanggung jawab menjaga kerjaya saya iaitu Mindorder Management yang akan menentukan artis mengikut kesesuaian vokal saya. Saya mensasarkan 5 penerbitan baharu bagi tahun 2022 untuk lagu-lagu Irama Malaysia. 

Noraniza Idris Aktifkan Semula Penerbitan Lagu-Lagu Irama Malaysia Bermula 2022

Hasrat gabungkan artis Irama Malaysia di bawah satu bumbung pertubuhan

Seiring dengan usaha saya mengangkat semula lagu-lagu Irama Malaysia secara lebih agresif, saya kini sedang menghimpunkan artis-artis Irama Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah  penerbitan single berkonsep Irama Malaysia untuk bergerak di bawah sebuah pertubuhan. Sekarang pertubuhan ini sedang dalam proses pendaftaran dan masih menunggu kelulusan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran. Sudah sampai masanya artis-artis Irama Malaysia ini di satukan dalam satu bumbung pertubuhan berkongsi kesungguhan untuk bangkitkan Irama Malaysia dengan sepenuh hati. 

Hasrat saya untuk menjadikan pertubuhan ini sebagai pengorak langkah kepada pembangunan hak cipta penerbitan lagu-lagu Irama Malaysia dan dapat di selaraskan di samping membantu artis-artis baharu dan lama yang pernah aktif dalam penerbitan kembali bangkit semula menerbitkan lebih banyak lagu-lagu irama ini sebagai produk khazanah yang boleh dijadikan rujukan generasi pelapis pada masa akan datang. Saya berharap platform yang saya sediakan seperti aktiviti-aktiviti kesenian di sepanjang 2022 akan dapat dikongsikan dengan artis-artis Irama Malaysia yang ada.

Penerbitan Konsert Irama Malaysia akan diteruskan pada 2022 dengan kerjasama MindOrder Management. Semoga akan menjadi kenyataan setelah 2 tahun tertangguh akibat PKP.

Materai perjanjian persefahaman bersama C2Joy (M) Sdn Bhd sebagai rakan strategik

Hari ini NIPVSB akan menandatangani MOU dengan C2Joy (M) Sdn Bhd untuk 12 bulan bermula 11 Oktober 2021 sehingga 10 Oktober 2022 secara rasmi. Ini adalah langkah pertama saya selepas fasa 3 dibuka untuk kongsikan sesuatu kepada masyarakat. Peranan C2Joy (M) Sdn Bhd adalah sebagai rakan strategik yang akan bersama saya menganjurkan acara-acara tanggung jawab sosial korporat dan kemasyarakatan bagi membangunkan generasi pelapis seawal 5 tahun hingga tanpa had usia. 

Tubuhkan akademi pusat pentauliahan aktiviti pensijilan kemahiran untuk golongan sasar

Saya berharap usaha menubuhkan pusat pentauliahan bersijil dapat diteruskan setelah terhenti sekian lama. Akademi Tatihseni Malaysia sedang dalam proses pendaftaran sebagai pusat pentauliahan yang mensasarkan peserta yang ingin belajar asas kepada asas kesenian tanpa mempunyai pengalaman sehingga mahir. Akademi ini juga mensasarkan peserta yang tidak mampu meneruskan hasrat ke pusat pengajian tinggi selain golongan yang bermasalah dalam pembelajaran akademik tetapi mempunyai minat yang mendalam terhadap kesenian. Menerusi modul Malay World Cultural Paradise, saya berharap akan dapat membantu menjadi rujukan kepada lebih ramai golongan pelapis dari pelbagai bangsa dan kaum dari dalam dan luar negara. 

Sudah sampai masanya saya memberi semula kepada komuniti apa yang saya telah kutip dari pengalaman saya dalam industri muzik Malaysia sepanjang 35 tahun saya berada di sini. 

Semoga tahun 2022 memberi sinar baru kepada semua penggiat seni khasnya pendokong lagu-lagu Irama Malaysia yang kebanyakannya berusaha sekadar mengikut kemampuan agar terus kembali bersemangat.

#saveiramamalaysia 

Antara single dibawah Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd 

Antara single yang telah diterbitkan dibawah Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd. Kesemua lagu boleh dilayari di youtube dan boleh didengarkan di saluran streaming seperti Spotify, Apple Music, Joox & Itunes Store.  

Intan Payung – Noraniza Idris ft Bunga

Cinta Lebaran – Noraniza Idris, Ihab Ismail & Azmir Ariff

Wangikanlah Hatimu – Noraniza Idris ft Tyka 

Permata Saadah – Noraniza Idris

Februari – Fadzlee Sufri

Aku Mencari – Fee Haiqal 

INFORMASI :

Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd

Email : [email protected] / [email protected]

Instagram : noraniza_idris / nipvsb

Youtube : Noraniza Idris TV 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Manifestasi Semangat Juang Pengkarya Indie Tiga Negara Dalam TAPAUfest

Rumah Tangga Bermasalah, Siti Saleha Tuntut Cerai