in

NORALBANIAH, HILMI HUSAINI DALAM DRAMA HUJAN BEREDAR PANAS BERLINGKAR

SLOT PANGGUNG 1 : HUJAN BEREDAR PANAS BERLINGKAR 13 SEPTEMBER 2008 DI RTM1

Sempena bulan Ramadan yang mulia penuh keberkatan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan sebuah drama istimewa yang pastinya mampu membuahkan rasa keinsafan kepada penonton supaya senantiasa redha dengan ujian dan ketentuanNya.

Drama Hujan Beredar Panas Berlingkar yang menemui penonton pada hari Sabtu (13 September 2008), jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di RTM1 menyaksikan lakonan mantap Noralbaniah, Hilmi Husaini, Fatin Nur Afifah dan Norrihan Yakob sebagai watak utama menghidupkan drama terbitan Pro Pictures Sdn Bhd ini.

Hujan Beredar Panas Berlingkar mengajak penonton menghayati perjalanan kisah kegigihan keluarga Derus yang berdepan ujian getir dalam hidupnya setelah isterinya, Azura terlantar lumpuh seluruh badan setelah diserang angin ahmar. Lenyap segala kebahagiaan yang pernah dikecapinya bersama isteri dan dua anaknya, Murni dan Husin.

Meski pun bakal menduduki peperiksaan PMR, Murni tetap menunaikan tanggungjawab menguruskan ibunya hingga adakalanya terpaksa ponteng sekolah. Perkara itu merunsingkan ayahnya, Derus yang pada masa sama terpaksa meneruskan tugasnya sebagai tukang kebun untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Tindakannya kerap ponteng sekolah menyebabkan prestasi pelajaran Murni semakin merosot. Perkara itu bukan sahaja merunsingkan ayahnya, malah turut membimbangkan gurunya, Cikgu Rozita serta dua orang teman baiknya, Sakinah dan Farid.

Derus terpaksa meminta bantuan ibunya, Minah untuk menjaga Azura dan Husin ketika dia keluar bekerja. Namun Minah yang sememangnya tidak menyenangi Azura sebagai menantunya menggunakan peluang yang ada untuk mendera Azura. Malah turut mengancam Husin supaya tidak mengadu perkara itu kepada ayahnya.

Akhirnya perkara itu sampai ke pengetahuan Murni. Dia kecewa dengan tindakan neneknya yang zalim lalu cuba menyampaikan perkara itu kepada ayahnya. Tetapi dia kecewa hinggalah satu hari dia berjaya memperlihatkan sendiri kelakuan kejam neneknya terhadap ibunya.

Derus terkejut dan kemudiannya memutuskan untuk berhenti kerja dan menjaga sendiri isterinya di samping cuba meraih pendapatan dengan berniaga ikan. Tetapi dia tetap berdepan dilema kerana kesempitan wang untuk membiayai kos perubatan isteri dan buku-buku rujukan yang diperlukan Murni untuk mengulangkaji pelajaran sebelum berdepan peperiksaan PMR.

Demi melihat Murni cemerlang dalam peperiksaannya, Derus meminta bantuan Cikgu Rozita untuk mendapatkan buku latihan dan rujukan lama. Murni terharu dengan kesungguhan ayahnya dan berazam memperolehi kejayaan cemerlang dalam PMR.

Sementara itu mereka tidak putus-putus berikhtiar untuk memulihkan Azura menerusi senaman hingga Azura berjaya menggerakkan tangannya semula. Cadangan Murni supaya ibunya di bawa ke pantai ke pantai dan ditanam badannya dalam panas juga menampakkan hasil apabila kakinya mampu digerakkan sedikit demi sedikit.

Begitu pun kehadiran ayah dan ibu Azura yang baru mengetahui keadaan anak mereka menimbulkan konflik dalam keluarga Derus. Dia bertegas tidak mahu menerima bantuan mereka.

Apakah kesudahan drama menyayat hati ini? Mampukah keluarga mereka kembali bahagia seperti sebelumnya?

Jangan ketinggalan menyaksikan Hujan Beredar Panas Berlingkar, Sabtu (13 September 2008), jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ALLYHUNT: PORTAL CARI KERJA YANG EFEKTIF!

PINTU HIDAYAH DERITA KAKAKKU YANG STRESS