Pelakon cantik manis, Nora Danish telah menafikan dakwaan yang mengatakan dia kini dikatakan sedang menjalin hubungan istimewa dengan bekas kekasih Yunalis Zarai, Qi Razali setelah gambar keakraban mereka berdua dimuat naik menerusi akaun Instagram Nora. Nora menegaskan lagi, tiada sebarang hubungan istimewa yang terjalin antara dia dan Qi. Sebaliknya mereka hanya bertemu di lokasi penggambaran filem ‘Bencinta’.
“Tak salah bergambar dengan Qi memandangkan dia pun single. Kelakarlah apabila orang nak kaitkan saya dengan Qi kerana saya hanya jumpa dia di lokasi penggambaran. Apabila selesai kerja, masing-masing buat hal sendiri. Jadi, bagaimana boleh timbul gosip yang saya sedang bercinta dengan Qi.”
Menurut Nora lagi, dia memang gemar bergambar bersama pelakon lain yang sedang bekerjasama dengannya untuk sesebuah filem. Tapi apabila ditanya kenapa tidak bergambar dengan Farid Kamil yang beraksi sebagai suaminya dalam filem tersebut, Nora memberitahu adalah lebih baik dia bersikap berjaga-jaga kerana bimbang timbul gosip liar.
“Tiada masalah pun kalau saya ingin bergambar dengan Farid. Tapi dia kan sudah berkahwin. Walaupun saya tahu Diana Danielle akan bersikap terbuka tapi lebih baik saya elakkan. Takut timbul pula gosip lain yang tidak elok untuk semua pihak.”
Jelas Nora lagi, ini bukan kali pertama dia dikaitkan dengan pelakon lelaki yang digandingkan dengannya dalam sesebuah filem. Nora merasakan hal ini tidak patut diperbesarkan kerana dia tidak mahu timbul perasaan kurang senang antara mereka sekiranya harus bekerjasama sekali lagi untuk filem lain.
“Dulu saya dikaitkan dengan Shaheizy Sam dan kemudian, Adiputra. Sekarang dengan Qi pula. Saya rasa gosip seperti ini tidak patut timbul kerana susah untuk kami berhubung ketika atau di luar penggambaran kerana bimbang gosip tersebut lebih melarat.”
Kata pelakon kecil molek ini, dia tidak pernah keluar bersama rakan-rakan selebriti lelaki kerana tahu orang ramai pasti akan membuat spekulasi bahawa dia dengan artis tersebut sedang bercinta.
“Saya tidak mahu anak saya membesar dengan cerita-cerita negatif mengenai saya. Saya berusaha menjaga tingkah laku saya agar dia tidak terkena tempias dengan segala gosip dan fitnah yang melibatkan diri saya.”
Walaupun sudah hampir lima tahun hidup sendirian, namun menurut Nora, dia tidak kesunyian kerana sering ditemani anak lelakinya Rayqal dan juga teman-teman. Selain itu, dia sentiasa sibukkan diri dengan kerja.
“Setakat ni, saya tak rapat dengan siapa-siapa. Sekiranya satu hari nanti saya ingin berkahwin, pasti saya akan umumkan.”
Nora impikan seorang lelaki yang mampu menyayangi anaknya seperti anak sendiri. – Portal GUA