Nora turut mengimbas kenangan terakhirnya bersama Allahyarham ketika mereka bertemu pada Aidilfitri lalu. Ketika itu, Nora berkunjung ke kediaman Allahyarham untuk meraikan hari raya dan beliau kelihatan sihat tanpa sebarang tanda-tanda penyakit.
Nora berkata, “Dia (arwah Nabil) sangat ‘cool guy’, sangat budak baik-baiklah. Sebagai sepupu, saudara-mara, dan anak protege, saya ajar dia dulu macam anak sendiri. Tapi, dia memang seorang anak yang sangat baik. Sampai sekarang, apabila kita berjumpa, ketika hari raya Aidilfitri lalu, semuanya okay, dia tak ada apa-apa sakit pun.”
Namun, Nora menerima kejutan besar apabila diberitahu mengenai kematian mengejut Nabil pada pagi itu. “Apa yang saya tahu, pagi ini dia pengsan di rumah dan isterinya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan), tapi tak berjaya dan arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang. Saya amat terkejut jugalah apabila mendapat berita itu dan dapatkan pengesahan daripada keluarga sebab tiba-tiba dan terlalu mengejut.”
Mengenang kembali kenangan bersama Nabil semasa program Mentor pada tahun 2005, Nora berkata terlalu banyak memori indah kerana beliau menjaga Nabil seperti anak sendiri, yakin dengan bakat nyanyiannya yang luar biasa. “Ramai juga yang pernah cakap ketika itu, arwah Nabil tiada bakat. Tapi, saya tak pedulikannya sebab kita yakin dengan bakat dia itu sehingga menang tempat kedua. Alhamdulillah, syukur. Selepas itu, dia pun buktikan dengan ada album sendiri, lagu sendiri dan dia berjayalah. Arwah juga sanggup sambung belajar. Cuma, memang kalau kami berjumpa, akan bersembang dan bercerita macam-macam,” katanya.
Industri hiburan tempatan hari ini dikejutkan dengan berita duka apabila Nabil dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Berita ini disahkan oleh bapanya, Zamanhuri Kamarudin, yang turut menyifatkan kehilangan ini sebagai satu kehilangan besar dalam keluarga. Allahyarham Nabil, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, bekerja di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun lalu.
Dalam karier nyanyiannya, Nabil pernah menghasilkan satu album bertajuk “Dari Jauh” pada tahun 2006. Beberapa single popularnya termasuk “Hati Ini,” “Hey Emma,” “Dari Jauh,” “Beku,” “Selangkah” (OST Aladdin), dan “Kenangan Lama” (OST drama Ijab Kabut). Selain itu, Nabil juga berbakat dalam bidang lakonan. Beliau pernah membintangi drama “Seribu Erti” pada tahun 2007, “Kerana Kirana 2” pada tahun 2008, “Kamelia Katrina” pada tahun 2009, dan “Ijab Kabut” pada tahun 2022. Beliau turut menyumbangkan suaranya dalam filem animasi “Aladdin” dan “Boboiboy Movie 2” sebagai Kapten Kaizo pada tahun 2019.
Allahyarham Nabil meninggalkan seorang balu dan dua anak yang masih kecil, satu kehilangan yang pasti dirasai oleh keluarganya.