Melalui sebuah portal terkenal, pelakon Noniswara telah membuat penafian tentang gossip yang mengatakan beliau sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang usahawan yang dikenali sebagai Imran Mohd Nor apabila kelibat lelaki itu sering dilihat dalam gambar atau video yang dirakamkan menerusi lama sosial Instagram (IG).
Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 45, menegaskan hubungannya dengan lelaki itu hanya sekadar teman biasa dan masih belum terfikir untuk menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana lelaki selepas mengharungi penceraian kali kedua tahun lalu.
“Memang benar hubungan saya dengan Imran rapat tetapi hanya sebagai teman biasa dan bukannya intim seperti mana diperkatakan oleh sesetengah pihak. Apa yang mereka lihat menerusi gambar-gambar tersebut hanya salah faham dan terus membuat kesimpulan tanpa mengetahui cerita sebenar.”
Nonis mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mingguan yang menyebut pelakon itu sering dilihat bersama dengan lelaki itu dalam beberapa majlis termasuk semasa sambutan hari jadinya bulan lalu. Dalam pada itu, Nonis berkata, dia mengenali Imran menerusi suami kepada pelakon Rabecca Al-Islam iaitu Datuk Nor Azam Sulaiman dan mereka sering menghabiskan masa bersama-sama dan bukannya berdua-duaan.
Jelas Nonis, latar belakang Imran sebagai usahawan membuatkan mereka rapat selain banyak meminta nasihat daripada lelaki itu tentang perniagaan.
“Saya seorang yang minat dalam perniagaan dan ada meminta nasihat Imran tentang selok belok tentang bidang itu dan sekiranya kami keluar bersama pun ia turut ditemani oleh rakan-rakan lain yang pada kebiasaannya hampir sepuluh orang semuanya.”
Sementara itu, Nonis berkata, sebagai seorang wanita yang pernah bercerai sebanyak dua kali dia kini lebih berhati-hati sekiranya ada lelaki mendekatinya kerana ingin memastikan dia tidak tersalah langkah seperti mana sebelum ini.
Nonis bagaimanapun mengakui ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya namun dia kini tidak mudah mempercayai kata-kata manis mereka selain lebih selesa berkawan sahaja.
“Dengan pengalaman sebelum ini saya perlu lebih berhati-hati dengan kaum lelaki dan perlu menilai dan meneliti terlebih dahulu sikap dan personaliti mereka kerana jika ditakdirkan bertemu jodoh saya tidak mahu ia berakhir dengan penceraian.”
Dalam perkembangan lain, Nonis berkata, selain sibuk dengan lakonan dia juga kini lebih banyak menghabiskan masa di kampung halamannya di Kota Bahru, Kelantan bersama anak-anaknya.