Kalau sebelum ini, kita dengar akaun Youtube ramai selebriti telah digodam oleh hacker. Tapi sejak akhir-akhir ini, kejadian membabitkan penggodaman Facebook dan Instagram pula dilihat semakin berleluasa sehingga terdapat banyak maklumat sulit didedahkan. Mungkin sekarang ini timbulnya kumpulan hacker yang begitu pandai untuk menggodam akaun sosial media ini. Macam-macam cara dibuat mereka ini.
Golongan hacker ini berkebolehan dalam mencipta dan mengubah suai perisian komputer serta berkaitan dengan keselamatan dengan menggunakan ciri tertentu.
Kadang-kadang, mereka selalu menyerang media sosial individu yang berpengaruh dan ramai pengikut untuk mengugut dan mendapatkan wang dari aktiviti tersebut.
Ning Baizura Kini Mangsa Penggodam
Perkara sama turut berlaku kepada penyanyi dan pelakon, Ning Baizura, selepas hampir seminggu berdepan dengan situasi akaun Facebooknya digodam dan berusaha untuk mendapatkan ia kembali.
Namun perkara itu dilihat gagal dan penyanyi berusia 46 tahun itu terpaksa mengalah dan memenangkan si penggodam itu.
Terdahulu, penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu berdepan isu penggodam laman media sosialnya sejak pertengahan bulan September namun menyangka situasi tersebut hanya bersifat sementara.
Situasi menjadi seolah-olah sukar dikawal walaupun sudah berulang kali Ning memuat naik status meminta pengikut dan peminatnya mengajukan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Akaun tersebut telah digodam secara ‘on’ dan ‘off’ sejak seminggu lalu. Mereka memuat naik bahan tidak senonoh di situ termasuk di bahagian stories lagi hari ini. Tolong jangan ikuti lagi dan laporkan akaun Ning. Baizura.
– Ning Baizura
Biarpun berat untuk membuat keputusan yang dianggap sukar, tindakan segera perlu diambil memandangkan sudah seminggu platform media sosialnya itu diambil alih individu tidak bertanggungjawab.
“Kepada sahabat-sahabat dan peminat. Saya kini menutup dan memadam akaun Facebook saya termasuklah akaun peribadi dan Fanpage (laman peminat).
“Ini adalah keputusan yang sukar, tapi saya terpaksa. Akaun saya digodam sejak hampir seminggu lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Mereka memuatnaik kandungan lucah termasuk gambar, video Dan link lucah di FB Story saya sekali lagi hari ini (semalam). Tolong jangan lagi ‘follow’ dan laporkan akaun FB Fanpage ini (Ning.Baizura),”
– Ning Baizura
Ning juga mengakui terpaksa menutup akaun Facebooknya bernama Ning Dalton termasuklah akaun kelab peminat yang menggunakan nama Ning.Baizura di platform sama.
Menurut Ning, melepaskan medium yang sering digunakan untuk berkongsi perkembangan dan berbual bersama peminat adalah satu keputusan yang sukar.
Pada masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia lapan tahun itu mengingatkan orang ramai serta pengikutnya supaya membuat laporan mengenai akaun tersebut.