Malah, kemampuan Nikki, 38, menyanyikan lagu daripada pelbagai genre sudah cukup untuk membuktikan dirinya antara penyanyi terbaik wanita yang kita ada. Malah, kualiti vokal dimiliki juga berjaya menempatkan Nikki berada di kelas tersendiri.
Selepas single Sudah (2022), Nikki kini kembali mempertaruhkan lagu berjudul Panas hasil ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan lirik ditulis oleh Shazee.
Menariknya, menerusi lagu Panas ini buat pertama kali Nikki menyanyikan lagu bergenre Electric Dance Music (EDM), sekali gus menyifatkan ia satu percubaan berani Nikki.
“Lagu ini dirakam hujung tahun lalu dan memang agak lama ia disimpan kerana tidak jumpa masa yang sesuai disebabkan ada banyak cuti umum. Jadi, disebabkan itu ia tertangguh walaupun sudah lama disiapkan.
“Genre lagu adalah EDM dan saya sangat teruja untuk lancarkan lagu seperti ini. Mungkin ramai yang tidak menjangka saya akan keluarkan lagu seperti ini. Kalau sebelum ini saya kembali dengan lagu Sudah yang juga adalah naskhah bergenre balada. Namun, lagu EDM seperti ini saya rasa orang akan terkejut.
“Lagu ini memang satu pertaruhan yang berani, tapi seperti biasa saya bukan jenis yang takut untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana ia menyeronokkan,” katanya.
Menurut Nikki, buah tangan terbaharu itu sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan peminat yang sentiasa inginkan karya daripadanya terutamanya lagu berentak rancak.
“Kemunculan lagu ini memang akan mengubat kerinduan peminat termasuk diri saya sendiri. Saya memang suka menyanyikan lagu rancak, ada unsur tarian, bertenaga dan memberi peluang kepada saya untuk tampil dengan persembahan ‘theatrical’. Saya suka elemen seperti itu dan lagu ini membuatkan saya cukup teruja kerana ia adalah genre yang saya belum pernah bawa sebelum ini.
“Saya berasa sudah tiba masanya untuk menyanyikan satu cerita yang baharu. Kalau single Sudah sebelum ini menggambarkan satu kisah yang perit, tapi sekarang ini akan lebih berbeza dan seronok. Saya rasa mungkin ramai yang fikir saya ini seorang yang serius dan tidak pandai bergurau. Tapi, sebenarnya saya adalah seorang yang suka bergelak ketawa dan bergurau.
“Saya tidak menyalahkan mereka, sebab saya adalah seorang yang tidak terlalu menceritakan mengenai kisah peribadi, tapi untuk lagu ini saya akan tampil dengan lebih ‘gila’,” katanya. Berkongsi lanjut mengenai lagu Panas, Nikki yang pernah menghasikan dua album iaitu Maharani dan Hawa berkata, Panas adalah lagu yang paling seronok pernah dirakamkan.
“Lirik lagu ini saya tidak mahu sesuatu yang serius. Saya ada minta kepada Shazee supaya tidak tulis lirik yang serius sebab kalau boleh saya mahu selitkan unsur komedi. Jadi, pendek kata lagu ini mengisah seorang Diva yang nakal dan mudah terhibur. Ini kerana, saya lebih cenderung untuk ke arah itu.
“Sejujurnya, dalam banyak lagu pernah dirakam, Panas ini adalah karya yang paling seronok bagi saya,” katanya.
Dalam masa sama, Nikki berharap lagu Panas dapat diterima baik oleh peminat dan seluruh pencinta muzik tempatan.
“Saya berharap lagu Panas boleh diterima ramai, sebab genre lagu ini sedikit berbeza daripada genre sebelum ini pernah dibawakan. Sebab memang ramai peminat yang menantikan saya muncul dengan lagu bergenre rancak atau ‘dance’,” katanya.
Selain itu, Nikki juga teruja untuk berkongsi yang mana dia dalam perancangan untuk mengadakan ‘showcase’ atau persembahan istimewa buat peminat.
“Untuk album buat sementara belum lagi. Nikki akan keluarkan single by single. Buat masa sekarang, saya sebenarnya sudah rakam beberapa single dan semua dalam proces.
“Single yang lain itu, kali ini saya bekerjasama dengan komposer yang berbeza dan sememangnya satu cabaran yang besar bagi saya. Dan saya banyak belajar dalam sesi rakaman.
“Showcase masih dalam perbincangan dan masih terlalu awal untuk mengumumkan. Tapi memang saya mengharapkan sebuah showcase yang berskala besar khas buat peminat saya,” katanya.