Mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, hari ini atas tuduhan memiliki dadah, pelakon Niezam Zaidi menganggap ada hikmah tersendiri di atas apa yang berlaku.
Menerusi satu posting di Instagram, pelakon berkenaan juga memohon maaf kerana tidak sempat untuk membalas sebarang pertanyaan yang diajukan terhadap dirinya.
“Assalamualaikum semua, saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua. Saya minta maaf juga tidak dapat membalas satu-satu komen sahabat handai, media dan rakan-rakan seperjuangan melalui DM, WhatsApp, call dan sebagainya.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas apa yang terjadi dan jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini,†jelasnya.
Pada masa sama, Niezam juga akan menyimpan terlebih dahulu semua komen-komen yang mengaitkan dirinya dengan isu berkenaan.
“Semoga Allah merahmati kalian. Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini. Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati,†ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan tentang seorang pelakon, penolong pengarah dan pengarah telah ditahan polis di sebuah rumah di Kuala Kangsar berhubung kes penyalahgunaan dadah.Â
Berdasarkan pertuduhan, Niezam didapati memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, di sini, 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.
Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ke atas Niezam yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.